Categories
SELANGOR

Audit: MPKj & MDKS patut pastikan khidmat kontraktor menepati spesifikasi

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 APRIL: Jabatan Audit Negara menemui kelemahan pengurusan perolehan terhadap dua pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Pengauditan dilaksanakan antara bulan Ogos hingga Disember 2014 mendapati secara umumnya matlamat perolehan di MPKj dan MDKS tercapai iaitu bekalan dan perkhidmatan diterima, bekalan diterima digunakan serta kerja dilaksanakan.

LKAN Selangor1Namun berdasarkan hasil laporan yang dikeluarkan, terdapat dua perolehan kerja membina tempat letak kenderaan Orang Kelainan Upaya (OKU) masing-masing bernilai RM19,880 di MPKj tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Meskipun bayaran belum dibuat kepada kontraktor namun pengesahan kerja membenarkan tuntutan keseluruhan nilai kerja telah dibuat tanpa sebarang pemotongan bayaran.

“Selain itu, kerja premix bagi perolehan ini tidak disokong dengan spesifikasi kerja terperinci, pelan, lakaran, lukisan atau peta menyebabkan semakan pengesahan kerja tidak dapat dibuat cekap,” katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara Negeri Selangor 2014 Siri 1.

Selain itu, MPKj turut mencatatkan enam buah kontrak kerja tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi antaranya satu kontrak bagi perolehan perkhidmatan penyelenggaraan jalan (RM52,800), tiga kontrak pembersihan awam (jumlah keseluruhan RM1.32 juta) serta serta kontrak pembersihan awam (RM686,670).

Sementara di MDKS pula, sebanyak 14 perolehan tidak mematuhi peraturan kewangan antaranya bayaran lewat dibuat kepada pembekal, tiada kajian pasaran dan perolehan yang dibuat tidak mengikut tatacara yang ditetapkan.

Disamping itu, terdapat dua jenis aset dengan nilai perolehan masing-masing RM17,500 dan RM17,430 tidak didaftar dan disimpan dengan baik.

Jelas Laporan Audit, kedua-dua PBT ini bertanggungjawab menyedia dan menyelenggara kemudahan serta infrastruktur awam selain mempertingkatkan mutu perkhidmatan untuk masyarakat setempat.

“MPKj dan MDKS perlu melakukan perolehan meliputi bekalan, perkhidmatan dan kerja mengikut 4 kaedah perolehan iaitu pembelian terus, sebut harga, tender dan perolehan darurat berpandukan kepada peraturan perolehan yang berkuat kuasa dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa.

“Sumber kewangan pihak berkuasa tempatan merangkumi hasil cukai dan hasil bukan cukai yang terdiri daripada cukai taksiran, lesen, denda, sewaan serta terimaan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” jelasnya lagi.

Bagi mempertingkatkan pelaksanaan perolehan, Audit mengesyorkan MPKj dan MDKS memastikan kerja dan perkhidmatan dilaksanakan kontraktor menepati spesifikasi.

Kedua-dua PBT ini juga perlu memastikan pengesahan kerja dibuat dengan menyeluruh untuk mengelakkan berlakunya pembayaran tidak betul (improper payment).

“MPKj hendaklah menyediakan spesifikasi secara terperinci bagi membolehkan pengesahan kerja dapat dibuat dengan cekap selain memastikan setiap perolehan yang dilaksanakan mematuhi peraturan serta tatacara kewangan yang ditetapkan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.