Categories
SELANGOR

Mahu jadi doktor hafaz al-Quran jadi dorongan

Oleh NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM: Keinginan menjadi doktor yang menghafaz al-Quran menjadi dorongan seorang pelajar tahfiz menjadi antara 10 pelajar terbaik program Unismart.

photo 3Muhammad Kamil Ayub Mazlan memperoleh 7A daripada 11 mata pelajaran termasuk Fizik, Biologi dan Kimia, percaya pengetahuan dunia perlu selaras dengan ilmu akhirat.

“Kita perlu ikhlaskan diri. Jaga adab dengan guru dan ibu bapa dan jadikan al-Quran sebagai sumber selain ilmu dunia.

“Saya ikuti program itu kerana ramai doktor pandai hafaz al-Quran,” katanya yang mahu meneruskan pengajian di Mesir dalam bidang perubatan.

Beliau antara 160 pelajar yang mengikuti Unismart, program untuk pelajar tahfiz mengambil SPM dengan kerjasama Universiti Industri Selangor (UNISEL) dan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS).

Dalam tempoh 10 bulan hingga Oktober tahun lalu, mereka perlu mengambil 11 subjek, antara Sains, bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran dan Sunnah serta Tasawwur Islam.

Anugerah itu disampaikan Pengerusi YAPIS, Dr Halimah Ali di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor di sini, hari ini.

photo 2Bekas pelajar Madrasah Darul Kauthar Kelantan, Afiz Zaini Zaini, 19, yang memperoleh 8A, pula bergantung kepada buku sebagai bahan rujukan.

“Memang susah untuk belajar dalam tempoh singkat. Jadikan buku sebagai bahan rujukan sebab kita tidak hadir ke kelas formal,” katanya.

Mazlida Hazira Kamaluddin dari Pahang pula mahu menyambung pelajaran dalam Diploma Tahfiz Al-Quran dan percaya fokus dalam kelas sebagai cara pembelajaran paling efektif.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.