Categories
KENYATAAN MEDIA

Hapuskan GST terhadap sukan & rekreasi

Selepas melakar sejarah Himpunan #KitaLawanGST diadakan dengan jayanya di Johor Bahru pada minggu lepas, anak muda #KitaLawan akan kembali ke Kuala Lumpur pada Sabtu ini untuk meneruskan aksi menjelang Himpunan 1 Mei 2015 dan sebagai tanda bantahan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Penindasan GST amat dirasai golongan muda dan penjelasan-penjelasan Menteri-Menteri pentadbiran Najib Razak untuk justifikasi dan cadangan bagaimana menghadapi kerakusan GST bukan sahaja tidak membantu bahkan menghina kewarasan dan kebijaksanaan anak muda.

Kita-LawanLebih malang lagi, Menteri Belia dan Sukan yang diharap-harapkan mampu membela nasib anak muda adalah sekadar mengecewakan.

Beliau nampaknya lebih sibuk menjaga kepentingan dan kedudukan peribadi untuk mengampu Najib Razak sedangkan kepayahan anak muda menghadapi GST langsung tidak dipedulikan.

Sekretariat #KitaLawan akan terus memperjuangkan suara anak muda. Minggu ini tuntutan khusus anak muda adalah agar GST terhadap segala jenis peralatan, kegiatan, barang dan perkhidmatan berkaitan aktiviti-aktiviti sukan, rekreasi dan riadah dihapuskan dengan segera.

Kepimpinan Najib Razak seharusnya menghentikan penindasan terhadap anak muda yang ingin mengamalkan kehidupan sihat.

Apabila rakyat terus ditekan sedangkan mereka hidup dengan penuh kemewahan, anak muda tiada pilihan lain melainkan untuk terus bangkit dan lawan.

Maka pada Sabtu ini 18 April 2015, #KitaLawan akan mengadakan protes #KayuhBantah #KitaLawanGST iaitu rakyat akan berbasikal beramai-ramai mengelilingi Kuala Lumpur bermula dari Dataran Kita Lawan pada jam 4.00 petang.

Kami menjemput semua yang ingin menyertai aktiviti #KayuhBantah bolehlah membawa basikal masing-masing pada petang Sabtu ini.

Mereka yang ingin menyatakan pendirian agar GST terhadap sukan dan riadah dihapuskan boleh berhimpun di Dataran Kita Lawan dengan memakai baju hitam sebagai tanda sokongan.

Kami juga menyeru kepada anak muda di luar Kuala Lumpur untuk turut bersama mengadakan aktiviti seperti #KayuhBantah di kawasan masing-masing pada Sabtu ini bagi mengajak rakyat Malaysia turun ke Kuala Lumpur untuk #KitaLawanGST pada 1 Mei 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published.