Categories
SELANGOR

MB: Muktamad, KIDEX tetap ditolak

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 APR: Kerajaan Negeri tidak akan mempertimbangkan dan menolak pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri memuktamadkan pembinaan Kidex ditolak ketika membuat penggulungan pada ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini.

“Saya ingin memaklumkan Kidex gagal mematuhi syarat yang ditetapkan, maka Kerajaan Negeri mengambil keputusan muktamad untuk tidak memberikan kelulusan dan tidak akan berganjak dengan keputusan berkenaan.

kidex12“Keputusan itu disampaikan kepada Menteri Kerja Raya dan delegasi ketika berkunjung di Selangor, pada 19 Mac lalu.

“Keputusan ini bukan sebagai populis tetapi diambil atas bantahan dan sokongan yang diterima, bahkan kajian seperti impak lalu lintas, kajian awalan kesan alam sekitar juga diambil kira,” katanya.

Terdahulu, DNS menolak usul Sulaiman Razak (BN-Permatang) yang mahu pembinaan Kidex dipertimbangkan semula.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga menyatakan kepada Kerajaan Pusat untuk menghormati Seksyen 20 A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 iaitu semua projek yang dibangunkan perlu dirunding bersama Kerajaan Negeri dahulu.

“Kerajaan Pusat juga mengaku terlepas pandang dan mengarahkan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengambil perhatian pada masa depan dan mematuhi seksyen itu untuk berunding dahulu dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

IMG_9971Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga meminta sasaran penggunaan pengangkutan awam dan persendirian dikaji semula serta dibawa kepada jemaah menteri.

“Pada 2008, nisbah menunjukkan 12 (pengangkutan awam):88 (persendirian), 2012 (27:73), 2014 (25:75). Ini menunjukkan keperluan kepada sistem pengangkutan amat mendesak.

“Pembinaan lebuh raya bukan satu-satunya penyelesaian kerana yang hendak kita pindahkan manusia, ‘we want to move people not machine’. Banyak mana lebuh raya dibina belum tentu dapat menyelesaikan masalah trafik.

“Justeru, nisbah 40:60 oleh Kerajaan Pusat perlu ditukar kepada 60:40 supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diberi ruang lebih banyak dalam sistem pengangkutan awam,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.