Categories
KENYATAAN MEDIA

Usul DNS berhubung pemenjaraan DSAI

Oleh:  Dr A Xavier Jayakumar
Sidang Dewan Negeri Selangor
Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Ke-13 Tahun 2015
09 April 2015
 
BAHAWASANAYA DEWAN INI MENGUTUK PENDAKWAAN BERMOTIF POLITIK TERHADAP DATO SERI ANWAR BIN IBRAHIM, KETUA PEMBANGKANG PARLIMEN MALAYSIA DAN PENASIHAT EKONOMI SELANGOR. DEWAN INI JUGA MENGISTIHARKAN DATO SERI ANWAR IBRAHIM ADALAH SEORANG TAHANAN POLITIK DAN PEMBEBAS BELIAU ADALAH MENJADI SATU AGENDA DEWAN INI
Puan Yang Dipertua Speaker,
Usul yang saya ingin kemukakan ini adalah berkenaan pemenjaraan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen. Pada 10 Februari yang lalu, Dato’ Seri Anwar telah dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun dan larangan 5 tahun bertanding dalam sebarang pilihanraya. Pendakwaan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas Dato’ Seri Anwar ini dikecam dan dikutuk pelbagai pihak, dari dalam negara serta masyarakat antarabangsa.
1) Usaha Mematikan Gelombang Suara Rakyat
Begitu jelas pendakwaan dan hukuman yang dijatuhkan dalam kes Fitnah Liwat 2 ini adalah satu konspirasi politik yang telah dirancang rapi serta tersusun oleh suatu tangan ghaib yang mahu menamatkan karier politik Dato’ Seri Anwar. Segala jentera telah dikerahkan sejak lebih 17 tahun yang lalu bagi mengekang suara rakyat yang dibawa Dato Seri Anwar. Kejayaan beliau memimpin kerjasama antara tiga parti politik yang merentasi sempadan kaum dan agama telah berjaya mencapai undi majoriti semasa pilihan raya umum tahun 2013, ternyata merupakan sejarah baru yang menggerunkan elit-elit pemerintah yang takut kehilangan kuasa.
Dato’ Seri Anwar difitnah dan dihukum sedemikian rupa kerana tidak berkompromi dengan amalan rasuah, tamak dan tidak peduli oleh elit-elit pemerintah kerajaan yang zalim. Di parlimen, suara beliau begitu lantang mewakili kepentingan rakyat terbanyak. Rekod beliau semasa menjadi Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menjelaskan komitmen beliau untuk mewujudkan Malaysia yang lebih adil, khususnya dalam membela golongan termiskin dan rapuh dalam masyarakat.
Dengan memenjarakan Dato’ Seri Anwar, mereka beranggapan gelombang perubahan yang diimpikan rakyat Selangor serta rakyat di seluruh negara yang bermula pada Pilihanraya Umum Ke-12 lalu dapat dimatikan. Namun, kebangkitan rakyat tidak akan dapat dihentikan dalam mencapai negara yang bebas dari penindasan, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah yang berleluasa. Saya serta rakyat diluar sana kekal dengan keyakinan bahawa Dato’ Seri Anwar tidak bersalah dan pemenjaraan beliau adalah satu konspirasi yang jijik. Dato’ Seri Anwar jelas merupakan seorang tahanan politik.
Puan Yang Dipertua Speaker,
2) Pendakwaan Bermotif Politik dan Kecaman Masyarakat Antarabangsa
Jika diteliti proses penyiasatan dan pendakwaan dalam Fitnah Liwat 2, ternyata ada kesungguhan luar biasa untuk memastikan Dato’ Seri Anwar disabitkan bersalah dan meringkuk di dalam penjara buat sekian kalinya. Dapatan mahkamah bahawa saksi utama adalah seorang yang berwibawa jelas bertentangan dan tidak konsisten dengan kesemua bukti yang dibentang dan dihujah pihak pembelaan.
Kes perbicaraan ini telah mendapat perhatian gerakan sivil dan badan bukan kerajaan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Wakil pemerhati daripada Inter-Parlimentary Union (IPU), International Court of Justice (ICJ), Human Right Watch (HRW), Amnesty International telah mengikut rapat perbicaraan ini dan menggesa Malaysia memberikan keadilan kepada Dato’ Seri Anwar. Amnesty International, badan hak asasi berprestij di dunia mengeluarkan amaran Dato’ Seri Anwar adalah ‘prisoner of conscience’ sekiranya disabitkan bersalah dan telah memohon supaya kerajaan Malaysia menghentikan pendakwaan politik terhadap beliau. Bekas presiden Filipina, Joseph Estrada mengutus surat memohon kerajaan Malaysia menghentikan kezaliman politik ke atas musuh politik mereka. Senator bebas dari Australia, Nick Xenophobe pula menggesa Malaysia menamatkan intimidasi politik ke atas Dato’ Seri Anwar. Portal gergasi media antarabangsa Bloomberg telah melaporkan pendakwaan Dato’ Seri Anwar sebagai ‘satu langkah mundur buat demokrasi’ Malaysia.
Jelas, masyarakat antarabangsa melihat pendakwaan ke atas Dato’ Seri Anwar adalah konspirasi politik untuk melemahkan politik oposisi di Malaysia yang bertindak sebagai check and balance. Usaha elit-elit pemerintah kerajaan yang zalim secara menipu memenjarakan beliau adalah serangan langsung ke atas sistem demokrasi berparlimen. Kes Dato’ Seri Anwar adalah kemuncak kepada segala penindasan hak asasi di Malaysia.
Puan Yang Dipertua Speaker
3) Membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim Agenda Dewan
Dato’ Seri Anwar adalah tahanan politik yang menjadi mangsa kecurangan sistem kehakiman yang dilihat disalah guna oleh elit-elit pemerintah yang takut kehilangan kuasa. Sistem kehakiman dan perundangan di Malaysia sudah berada di peringkat yang memualkan. Keputusan pemenjaraan ini bukan sahaja mengenai Dato’ Seri Anwar, tetapi dunia harus tahu bahawa terdapat penganiayaan yang jauh lebih besar dan tersusun yang sedang berlaku di Malaysia. Dunia perlu tahu bahawa suara-suara kebebasan sedang dianiaya menggunakan undang-undang keji zaman penjajah, sementara puak ekstremis dan isu perkauman dimainkan serta dilindungi.
Justeru, saya menggesa pembebasan Dato Seri Anwar, seorang pejuang yang mendokong aspirasi rakyat Selangor dan seluruh negara yang mahukan keadilan dan negara yang ditadbir urus secara telus serta bebas penindasan dan amalan rasuah yang kini berleluasa, menjadi salah satu agenda Dewan yang mulia ini. Kita harus terus menggunakan ruang-ruang yang masih ada untuk membebaskan Dato’ Seri Anwar, dan salah satu cara terbaik untuk menjamin pembebasan beliau adalah dengan terus melaksanakan agenda perubahan rakyat seperti yang diperjuangkan beliau.
Kita mesti terus berjuang, terus mara dan tidak menyerah kalah demi rakyat Selangor dan Malaysia yang lebih baik. Saya yakin dengan kebenaran dan usaha ini kerana sejarah dan peristiwa-peristiwa terkini misalnya di Sri Lanka menunjukkan bahawa kemaraan kebebasan dan kebangkitan rakyat akhirnya akan berjaya. Oleh itu hari ini bagi mereka yang merasakan kekuasaan dan kekayaan yang dibina dari penindasan dan ketidakadilan boleh kekal selama-lamanya, wajib sedar masa mereka sudah tamat.
Sekian,
YB Dr. A. Xavier Jayakumar
ADUN Seri Andalas
 
09 April 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published.