Categories
SELANGOR

MB: Pemaju bumiputera disaran kerjasama bangun Rumah Selangorku

Oleh: AFIX REDZUAN

KLANG, 18 APR: Pemaju hartanah bumiputera disaran menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi membangun projek Rumah Selangorku selepas tindakan berani beberapa pihak swasta sebelum ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri mempunyai rancangan membangunkan tanah rizab Melayu yang lama terbiar supaya dapat dimanfaatkan dan nilai hartanah meningkat mengikut pasaran.

Shuaib - 03“Saya ingin mengesyorkan pemaju hartanah bumiputera terlibat secara langsung dalam menyambut dasar Kerajaan Negeri supaya bersama membangunkan kesejahteraan rakyat dan Selangor. Kita sedar permintaan rumah mampu milik di Lembah Klang semakin meningkat.

“Kita akan mengenalpasti tanah rizab Melayu milik Kerajaan Negeri yang berpotensi untuk pembangunan rumah mampu milik, sekali gus meningkatkan nilai hartanah yang terbiar tanpa dibangunkan berkurun lama,” katanya pada Majlis pecah tanah Karya Residensi, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, sasaran untuk membina 15,000 unit rumah mampu milik boleh dijayakan segera dengan penyertaan lebih banyak syarikat pemaju hartanah dan 7,089 unit rumah mampu milik sudah dirangka dalam tempoh tiga bulan sehingga kini.

IMG_6668Antara pemaju terlibat dalam pembangunan rumah mampu milik adalah Sime Darby Property, IJM Land dan WCT Holdings Berhad.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin berkata, syarikat pemaju yang dipertanggungjawabkan untuk membina rumah mampu milik perlu menyiapkan segera projek mengikut waktu ditetapkan.

“Pemaju juga perlu kreatif dalam merangka pelan pembangunan termasuk memikirkan soal kemudahan dan jajaran aliran trafik bagi memudahkan penduduk,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.