Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Ulama perlu kuasai ilmu kontemporari, elak terhumban ke ‘black hole’

Oleh: Mohamed Azmin Ali

Asia Tenggara merupakan rantau nombor wahid bagi dunia Islam.

Umat Islam hari ini merupakan 40 peratus atau kira-kira berjumlah 240 juta penduduk Asia Tenggara. Ini menjadikan Islam sebagai agama terbesar di rantau ini.

Umat Islam Asia Tenggara juga merupakan umat Islam yang termaju di seluruh dunia dari segi ekonomi dan sosial. Mereka memainkan peranan menjadikan Asia sebagai paksi kegiatan ekonomi dunia – satu proses yang akan mengalihkan pusat kegiatan ekonomi dunia dari Barat ke Timur.

Bersama-sama umat lain, sama ada China atau India akan membangun apa yang dinamakan sebagai “Abad Asia”. Umat Islam Asia Tenggara berada di kedudukan strategik, di tengah-tengah China dan India, dunia kuasa besar ekonomi.

Dari segi ekonomi, pendidikan, kemajuan sosial, keserataan gender; umat Islam Asia Tenggara umumnya di hadapan berbanding saudara mereka di rantau lain.

Ini bukan untuk bermegah, sebaliknya memberi dorongan dan rangsangan bekerja lebih gigih dan bersaing secara sihat dengan umat lain dalam membentuk tamadun baru dunia.

MB AzminDari segi demografi, umat Islam di seluruh dunia mempunyai masa depan cerah sementara umat lain menghadapi gejala kebekuan penduduk atau bahkan ada yang menguncup.

Umat Islam kini berkembang purata 1.8 peratus setahun berbanding purata pertumbuhan penduduk dunia iaitu 1.12 peratus.

Di seluruh dunia, umat Islam berjumlah lebih 2 bilion. Meskipun Islam agama kedua terbesar di dunia tetapi Islam paling pesat berkembang.

Menurut unjuran Pew Research Centre, jumlah umat Islam akan menyamai penganut Kristian, masing-masing 32 peratus dari jumlah penduduk dunia, sekitar 2070.

Projek 12Kajian sama mengunjurkan umat Islam menjadi umat terbesar dunia pada 2100 – 35 peratus penduduk dunia, mengatasi penduduk Kristian 34 peratus.

Unjuran itu menuntut umat Islam mempunyai pandangan global baru. Perlu keluar dari psikologi mangsa, victim hood psychology, melihat diri sebagai mangsa penjajahan, konspirasi umat lain dan sistem antarabangsa yang tidak adil.

Sarjana sains politik dan pakar strategi antarabangsa, John Mearsheimer menegaskan, jumlah penduduk asas kekuatan paling utama.

Berdasarkan unjuran Pew Research Centre tentang pertumbuhan penduduk dan penganut agama dunia, umat Islam harus mampu menghadapi cabaran dunia dengan keyakinan.

Umat Islam perlu melihat fakta secara bertanggungjawab. Dengan menjadikan Islam sebagai agama terbesar dunia, Allah SWT memberi tanggungjawab berat di bahu umat-Nya.

Kerana Asia Tenggara wilayah terbesar umat Islam, maka umat Islam rantau ini ada tanggungjawab jauh lebih besar dalam memberi hala tuju kepada dunia Islam.

Peranan ini tidak boleh dipelopori kepimpinan ulama rantau ini kecuali memiliki gagasan dan idea bernas.

Ulama dalam sejarah peradaban Islam ada kedudukan tinggi dan mulia. Ini dijelaskan melalui Al-Quran yang mengungkap kemuliaan ulama dalam pelbagai istilah seperti ‘ilm, ‘ulama, ya’lamun, ulul albab dan sebagainya.

Nabi Muhammad SAW bersabda melalui Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi”

Dari segi sejarah rantau ini, tokoh seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Hamzah al-Samtrani, Abdul Samad al-Palembani, Abdul Rauf Singkil, Daud Fatani, Sheikh Arshad al-Banjari dan ramai lagi memulakan tradisi pemikiran tinggi.

Seperti yang dinukilkan pemikir – filasuf Melayu-Islam Malaysia, Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas:

“Dari sumber-sumber kesusasteraan Melayu yang berunsurkan intelektualisme dan rasionalisme Islam pada abad ke-16 dan ke- 17, terbayang pada pandangan akal gambaran perubahan mendalam yang telah berlaku terhadap jiwa masyarakat Melayu: kecapi yang belum pernah terpetik melagukan irama falsafah murni, kini berlaga diiringi seruling tasawwuf menyuarakan bisikan fikiran dan perasaan halus luhur.”

Pada masa sama, ulama di alam Melayu mempunyai jalinan antarabangsa melalui dua pusat ilmu Islam dikenali sebagai ‘al Haramayn dua tanah suci iaitu Mekah dan Madinah.

Ulama Nusantara telah mengkaji kitab klasik atau turath bersama syeikh berwibawa. Mereka mempelajari ilmu warisan Islam al-turath seperti tafsir,hadith, ‘aqidah, fiqh, usul al-fiqh, sirah, tasawwuf, akhlaq, bahasa arab, ilmu falak dan lain-lain bidang ilmu dengan penuh dedikasi.

Mereka meraih status manusia berilmu kerana kedalaman ilmu serta keteladanan rohani dan akhlak terpuji dengan sifat ikhlas.

Ulama Nusantara bukan sekadar berperanan sebagai penyebaran ilmu dan kegiatan dakwah. Mereka juga meniupkan semangat juang di kalangan rakyat rantau ini.

Melalui pendidikan, mereka menyemai benih kesedaran dan perjuangan kemerdekaan tanah air dari cengkaman penjajahan Barat.

tok janggutDi Aceh, Teuku Daud Berueh, seorang alim terkenal mengetuai barisan ulama Aceh menentang penjajahan Belanda. Di negara kita, ulama seperti Tuan Guru Haji Hassan Munas atau Tok Janggut menggerakkan rakyat menentang penjajah Inggeris di Pasir Puteh, Kelantan pada 1915.

Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbung turut melawan penjajah Inggeris di Terengganu. Pengasas Ma’had Ihya al-Syarif, Gunung Semanggol dan Hizbul Muslimin (HAMIM), Ustaz Abu Bakar al-Bakir mendapat jolokan ‘bahaya dari gunung’ pernah meringkuk dalam penjara kerana menentang penjajahan Inggeris di Perak.

Malangnya, sumbangan ulama tidak dihargai setimpal pengorbanan mereka. Selama ini, ahli sejarah hanya mengupas peranan golongan nasionalis Melayu sebagai penentang penjajah Inggeris walhal ulama memainkan peranan besar menuntut pembebasan.

Malah, pada 1948, himpunan ulama berbaris dari Butterworth, Pulau Pinang sehingga ke Alor Star, Kedah bagi membantah gagasan Malayan Union. Ini membuktikan ulama memainkan peranan penting bukan sahaja dalam bidang dakwah, tetapi juga bidang siasah.

Dalam konteks ijtima’ ulama Nusantara hari ini, kita wajar membicarakan peranan ulama dalam konteks semasa dan masa depan.

Dunia berkembang begitu pesat. Pelbagai cabaran ideologi dan pemikiran mencabar akidah, syariat dan akhlak umat. Ulama terkenal Uiniversiti Al-Azhar di Mesir, Sheikh Muhammad Al-Ghazali menyatakan, fenomena pergelutan pemikiran mencengkam minda dan jiwa umat Islam.

Cabaran pemodenan hidup, fenomena kebendaan (maddiyyah) yang keterlaluan, hedonisme serta rempuhan globalisasi menggugat jati diri umat Islam.

Dalam beberapa aspek penilaian, misalnya ekonomi, sosial dan keserataan gender, umat Islam Asia Tenggara muncul sebagai umat Islam termaju di dunia meskipun rantau ini dianggap sebagai pinggir dunia Islam berbanding Timur Tengah dan Asia Selatan yang pernah melahirkan kegemilangan tamadun Islam seperti Abbasiah di Timur Tengah dan Mughal di Asia Selatan.

Sultan Rasmi Masjid di Pekan Jeram (8)Kegemilangan tamadun Islam itu berdasarkan beberapa faktor. Pertama, umat Islam Asia Tenggara berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan ia menjadi sebahagian darah daging umat Islam- Melayu rantau ini.

Justeru, kita mesti mengambil langkah proaktif membanteras anasir ekstrem dan militan yang cuba bertapak. Jika ia bersarang, Islam Asia Tenggara yang kini paling maju di dunia akan terheret ke lubang hitam atau black hole dan memerlukan puluhan tahun untuk dipulih.

Kita menyaksikan bagaimana ekstremisme, kefanatikan dan militanisme telah mengheret umat Islam Timur Tengah ke lubang hitam yang penyelesaiannya belum kelihatan hingga kini.

Merebaknya militanisme di Timur Tengah akibat demokrasi yang dibungkam dan pemerintahan autokratik yang menyekat kebebasan bersuara serta penodaan terhadap hak asasi manusia.

Justeru, strategi paling berkesan membenteras militanisme ialah menyuburkan demokrasi, memberi hak kepada rakyat bersuara dan memelihara hak, darjat serta kemuliaan rakyat. Maka, ulama perlu memainkan peranan signifikan dalam membangun demokrasi umat Islam di rantau ini.

Selain itu, menjadikan bukan Islam sebagai rakan keamanan, pembangunan dan kemakmuran. Kita menghargai sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi sementara mereka menghargai sikap sederhana dan toleransi yang memberi peluang kepada mereka untuk berniaga, mencari rezeki tanpa diganggu gugat.

Saya yakin masih ada ruang untuk meningkat semangat yang disebut al-Quran sebagai lita’arafu bermaksud saling kenal mengenal. Dialog antara tamadun dan dialog antara agama perlu dijadikan wahana untuk menghayati konsepli ta’arafu anjuran al-Quran.

Kepimpinan politik umat Islam rantau ini mengambil sikap menghormati negara jiran dan berusaha menjadikan Asia Tenggara sebagai zon aman, bebas dan berkecuali.

ZoffanUmat Islam Malaysia bertuah mempunyai kepimpinan seperti Almarhum Tun Abdul Razak Hussein yang mengasaskan doktrin ZOPFAN dan menjadikan Asia Tenggara sebagai zon aman, bebas dan berkecuali dalam era Perang Dingin.

Justeru, meskipun ada persoalan minoriti Islam di Thailand, Filipina dan Myanmar; dan kita amat prihatin terhadap nasib saudara kita di sana yang hidup sebagai minoriti, namun pendirian kita adalah persoalan ini perlu diselesaikan secara aman dan melalui proses politik dan perundingan.

Kita sama-sekali menolak penggunaan keganasan, violence atau penentangan bersenjata untuk menyelesaikan pertelingkahan. Ia tidak menyelesaikan masalah, bahkan menyebabkan keadaan lebih buruk.

Berdasarkan tahap kemajuan umat Islam Asia Tenggara, saya yakin kita boleh meningkatkan prestasi dengan menghayati urutan keutamaan umat Islam masa ini dan masa depan.

Kita perlu meningkatkan pelaburan dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber daya manusia. Meskipun Islam menjadi agama nombor satu dalam 80 tahun dari sekarang tetapi jika majoritinya buta huruf, tiada pendidikan, wanita didiskriminasi dan tidak memberi sumbangan kepada produktiviti, maka umat Islam akan ketinggalan di belakang oleh umat yang jumlahnya jauh lebih sedikit.

Ulama sebagai pewaris nabi ada tanggungjawab berat. Mereka bukan sahaja perlu menguasai ilmu agama secara komprehensif tetapi juga harus menguasai ilmu kontemporari.

Di negara ini, tiga tamadun besar dunia tamadun Islam Melayu, tamadun Cina dan tamadun India membuka ruang luas untuk kita menyampaikan syiar Islam dengan hikmah dan bijaksana (fatanah)

Justeru, kita perlu melahirkan golongan ulama yang menguasai ilmu perbandingan agama (‘Ilmul muqaranatil adyan) seperti al-Biruni (Kitabal-Hind, Hujjatul Islamal (Ghazali-Kitabal Iqtisad fil‘Iti-ad, al- Sharastani (Kitab al-Mil alwa al-Nihal) dan al-Baghdadi (Kitab al-Firaq) yang memberi sumbangan besar dalam dialog antara agama pada zaman silam.

Dalam konteks Nusantara, interaksi antara ulama Islam dengan tokoh bukan Islam tentunya dapat merealisasikan perintah al- Quran bagi menyebar dakwah Islam sebagai rahmatan lil alamin, agama yang membela keadilan, agama kemanusiaan dan agama kedamaian.

Kita berbangga dengan usaha Hamka, tokoh ulama terkenal Indonesia dalam Tafsiral-Azhar kerana pandangannya mengenai isu kepelbagian agama di Indonesia serta kepentingan toleransi beragama mengikut panduan al-Quran.

Filasuf Francis Bacon, pemikir pada zaman Renaissance pernah berkata ilmu adalah kuasa, “knowledge is power”.

Justeru, umat Islam perlu dilengkapkan dengan ilmu, sains dan teknologi.

Bahkan, defisit paling nyata umat Islam hari ini dalam bidang ilmu, sains dan teknologi. Selagi kita tidak menghapus kesenjangan dalam ilmu itu, selagi itulah umat Islam berada di belakang umat lain.

Umat Islam tidak boleh hanya kekal sebagai pengguna teknologi, seperti telefon pintar, applikasi apps dan kemudahan teknologi serba canggih. Umat Islam harus diberdaya supaya mampu menghasilkan teknologi yang boleh digunakan dan dikongsi umat lain.

Namun, selagi kita tidak melakukan reformasi dan merakyatkan ilmu sains dan teknologi, selagi itulah kita tidak menghasilkan teknologi untuk manfaat umat manusia dan tamadun abad ke-21.

Menjadi harapan agar Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara ini mempelopori wacana baru demi kepentingan umat Islam serantau.

Dengan wacana baru yang lebih segar, kita mampu merangkul kekuatan ummah untuk melakukan anjakan dalam peradaban umat Islam hari ini, sekaligus pemangkin kepada kelangsungan tamadun Islam yang gemilang di Nusantara.

* Disunting dari ucapan Mohamed Azmin di Persidangan Antarabangsa Tokok Ulama’ Melayu Nusantara 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published.