Categories
NASIONAL

Penggabungan IPTS mampu atasi tekanan kewangan

SHAH ALAM, 13 APR: Tekanan kewangan universiti swasta boleh diatasi jika Kerajaan Persekutuan menyatukannya mengikut bidang kepakaran agar tidak bergantung terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN).

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata penggabungan itu merangkumi peraturan proses tadbir urus dengan melaksanakan pengambilan terbuka pelantikan pihak atasan.

IPTS“Ini termasuk dana modal, untuk penstrukturan dan pembiayaan semula universiti yang berada di bawah tekanan kewangan.

“Model Perkongsian Perkhidmatan dalam fungsi pengurusan disediakan bersama seluruh institusi atau diserahkan kepada pakar pembekal juga dilihat sebagai cara mengawal kos dan meningkatkan kualiti universiti baru,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya pertukaran pengurusan perlu dilakukan segera dengan menggantikan Naib Canselor berprestasi rendah.

“Pembaharuan perlu dibuat dalam pemilihan dan pemberian ganjaran kepada Naib Canselor dan timbalannya sebagai keutamaan bagi memastikan peningkatan prestasi,” katanya.

Data daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) baru-baru ini menunjukkan 46 peratus universiti swasta dalam keadaan kewangan meruncingkan pada 2013.

45 peratus daripada universiti swasta itu juga mempunyai aset tidak mencukupi menampung liabiliti semasa mereka.

Masalah tekanan kewangan universiti swasta terserlah apabila Alliance University College of Medical Sciences (AUCMS) tahun lalu terpaksa ditutup dalam masa singkat biarpun memiliki kira-kira 2,000 pelajar dan 500 kakitangan.

Pemotongan pinjaman PTPTN sebanyak 15 peratus bagi universiti swasta pada November tahun lalu dijangka menyebabkan 69.2 peratus dari mereka menghadapi masalah tekanan kewangan, sekaligus memberi kesan kepada 215,000 pelajar.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.