Categories
NASIONAL

Umur 60 baru boleh keluar syor KWSP tak masuk akal

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 APR: Syor penyelarasan pengeluaran simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada usia 60 tahun disifatkan tidak masuk akal dan bakal menjejaskan tampungan kos hidup pencarum.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata cadangan ‘paling membosankan’ itu tidak memberi manfaat kepada pencarum, malah tidak rasional kerana ia membabitkan hak pekerja.

KWSP1“Cadangan tak bijak dan membosankan kerana itu hak pencarum yang mengharapkan wang (persaraan) apabila mereka bersara kelak.

“Tidak nampak cadangan itu memajukan, sebaliknya ia membosankan dan merosakkan keadaan.

“Kenapa hendak dilanjutkan begitu lama? Adakah wang itu mahu diberikan kepada kroni? KSWP tidak boleh buat begitu kerana itu duit orang yang sudah bekerja,” katanya kepada Selangor Kini.

Mengulas lanjut, Abdullah Sani yang juga Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), berkata lanjutan caruman KWSP tidak meyakinkan seperti pelaburan di institusi perbankan dan sebagainya.

Katanya pencarum kebiasaannya memilih untuk menambah simpanan mereka di Tabung Haji atau Bank Rakyat yang menawarkan faedah lebih tinggi bagi simpanan masa depan.

“Orang tahulah mana hendak simpan duit yang lebih menguntungkan, tidak perlu hendak ajar.

“Kalau nak cakap pasal penambahan untuk kebaikan lebih baik simpan di Tabung Haji atau Bank Rakyat yang lebih tinggi keuntungannya berbanding KWSP hanya 6.75 peratus,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.