Categories
NASIONAL

Pengulas sukan: Lahirkan bintang bola sepak perlu perancangan bukan sekelip mata

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 APR: Pembangunan sukan bola sepak negara bukan sahaja memerlukan pelan pembangunan bola sepak mantap, malah memerlukan kesabaran tinggi bagi melahirkan sebuah pasukan bertaraf dunia.

Badan bertanggungjawab seperti Pesatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan persatuan bola sepak peringkat negeri juga perlu memastikan setiap tindakan perlu selaras dengan pelan pembangunan dirancang bagi memperolehi hasil diharapkan.

12614ZainalBagaimanapun, pengulas sukan terkenal, Zainal Abidin Rawop berkata, itu tidak berlaku apabila badan induk bola sepak negara sendiri tidak mengikuti pelan digariskan dalam banyak sesi ‘brain stroming’ sebelumnya.

“Kita dah buat macam-macam resolusi. Saya mula berkecimpung dalam bidang ini sejak 1986 dan sudah hadiri macam-macam sesi perah otak tapi tak pernah dilaksanakan. Apa dibincang dua, tiga hari tu dibukukan tetapi lepas itu hilang begitu sahaja.

“Terbaru, saya hadiri pelan pembangunan bola sepak. Saya dalam kumpulan itu sekali dan saya tengok dah lari dari landasan. Kalau betul nak berjaya kita kena ikut pelan dirancangkan tetapi kita ini jenis tak menyabar, mahukan kejayaan sekelip mata.

bola-sepak1“Kalau tubuhkan pasukan remaja, kita nak tiba-tiba layak ke Piala Dunia Remaja. Semua pihak tak sabar. Kita seoalah-olah sekelip mata terus nak ada Neymar atau Suarez sedangkan mereka belum pun tahu apa-apa lagi,” kata Zainal ketika dihubungi Selangor Kini.

Jelas beliau, latar belakang sistem pendidikan dan pembangunan bola sepak negara ini berbeza dengan kebanyakan negara yang melahirkan bintang bola sepak dunia sekaligus menyumbang kepada kesukaran melahirkan bakat muda bola sepak.

“Kita nak dapatkan lahirkan Neymar, Messi sebenarnya itu memang luar jangkaan sebab dengan sistem pendidikan kita, pagi ke sekolah, petang sekolah agama, malam mengulangkaji, mana ada masa nak asah skill.

“Main bola seminggu sekali, itu pun padang tak rata. Memang betul Neymar dan Messi pun main padang tak rata tetapi sistem pendidikan mereka cukup berbeza,” kata Zainal lagi.

Tambah beliau lagi, Malaysia juga wajar mencontohi Jepun apabila berjaya melengkapkan anak mereka bagi menghadapi cabaran untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Kata Zainal lagi, selain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), persatuan bola sepak peringkat negeri juga bertanggungjawab membangunkan bola sepak negara.

“Sebenarnya jangan salahkan FAM 100 peratus walaupun dia adalah badan induk. Persatuan bola sepak negeri juga kalau dibiarkan pelajar sekolah yang bermain bola di sekolah mereka akan mati bila selepas SPM.

“Nak main untuk negeri, dah tentu negeri kata tak mampu nak gajikan mereka sedangkan persatuan negeri ini sanggup menggajikan pemain senior yang permainannya di tahap sederhana sahaja.

“Sebenarnya tiada satupun persatuan negeri betul-betul nak jalankan projek dia dengan sediakan untuk bawah 10, naik 12, naik 16, 18 dan sebagainya. Ini disebabkan tumpuan kita hanyalah Liga M sahaja,” kata Zainal.

Ketika menyentuh ranking negara yang semakin jatuh ke tangga ke-164 berbanding ke-156 sebelumnya, Zainal berkata FAM perlu bijak memilih pasukan untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

“Bila kita main setakat persahabatan, kita punya matlamat adalah untuk beri pendedahan tetapi jika kita nak naikkan ranking kita, kita kena memilih lawan sama taraf jangan pilih pasukan yang hingga 20 tangga atas kita. Memang tak akan menjadi,” kata Zainal lagi.

Jelas beliau kekalahan besar 6-0 dalam perlawanan persahabatan menentang Oman yang berada di ranking semasa ke 97 pada Mac lalu merupakan antara penyumbang kejatuhan hingga lapan tangga pada awal tahun ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.