Categories
SENI

Penyair di tangga masjid

Oleh AMIR HAZLIN LIN

Ada tiga analogi untuk menggambarkan gaya penulisan ketiga-tiga penyair antologi puisi Trisula Kata Dari Daerah M.

arafat11076220_1067339239948892_6737112508990392676_nArafat Hambali, penyair yang menulis dari tangga masjid, banyak menulis sajak-sajak ketuhanan. Tetapi disebabkan, menulis dari tangga, beliau juga menulis hal-hal lain di luar masjid.

Najmuddin Yusuf umpama menulis sambil berjoging. Sajak-sajaknya memberontak terhadap situasi politik semasa. Untuk memahami sajaknya, pembaca perlu mengetahui peristiwa ketika sajak itu ditulis.

Bagi M Farez pula, Dr Irwan Abu Bakar, pengasas esastera.com memberi analogi penulis yang berkarya dari dalam bilik.

Pendekatan sajaknya berbeza daripada Arafat dan Najmuddin. Banyak berfalsafah.

Begitulah pandangan Dr Irwan terhadap karya dalam antologi itu pada diskusi anjuran Legasi Oakheart di Lanai Matic, Kuala Lumpur sempena Rantai Arts Festival, baru-baru ini.

Beliau, malah menyimpulkan semua sajak ketiga-tiga penulis itu sebagai: “Kalau saya tulis kertas kerja tentang buku ini, saya akan tulis ‘Tiga Penyajak yang Tidak Pandai Bercinta’ sebagai judul.” Kerana mereka tidak menulis sajak cinta dalam antologi berkenaan.drirwan

Petang yang terik itu juga dihangatkan dengan pertanyaan, apakah maksud ‘M’ yang menjadi judul antologi? M Farez tidak memberi jawapan tuntas, sebaliknya menyatakan mereka menulis seputar peristiwa di negara ini. Mungkinkah daerah M ialah Malaysia?

“Terpulang kepada pembaca untuk menafsir maksud ‘M’ mengikut pemahaman masing-masing,” kata Farez, meneruskan teka-teki.

Diskusi juga rancak dengan sesi soal jawab yang pertanyaan tidak hanya te-rarah kepada antologi itu. Perihal kualiti sajak yang menang sayembara. Ada sesetengah pihak mempertikai keunggulan karya yang menang sayembara.

Bagi Dr Irwan yang berpengalaman mengadili sayembara, penganjur sayembara sebenarnya telah menentukan kriteria tertentu bagi karya yang patut menang. Dan, katanya itu tidak mudah. Kadang kala berlaku perdebatan hangat untuk memilih pemenang utama.

Diskusi juga berjangkit kepada persoalan lain, Ada mempersoal slogan ‘Puisi Jadi Senjata’ kerana beranggapan ia bertentangan dengan ‘Doa Jadi Senjata’ Menjawab itu, Dr Irwan tidak menafikan doa mustajab sebagai senjata ketika ditimpa musibah.

Tetapi kesesuaian puisi sebagai senjata tidak boleh dinafi. Ada puisi yang menggerunkan sesetengah pihak apabila dideklamasi. Dan, bukankah puisi itu sendiri juga sebuah doa?

Leave a Reply

Your email address will not be published.