Categories
AGAMA SELANGOR

Q&A : Antara keadilan untuk guru KAFA dan penjawat awam

Elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di Selangor menjadi kontroversi berikutan perbuatan individu tertentu yang mendapat perhatian media. Ikuti wawancara NORHAYATI UMOR bersama Exco Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Pakatan Rakyat berjanji menaikkan elaun melalui manifesto PRU 13, dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan. Adakah ia sekadar janji?

Saya tidak menafikan kenaikan itu antara manifesto PRU 13. Sebelum PRU pun kita bincangkan perkara itu di peringkat negeri supaya ia dilaksanakan kerana kita melihat keperluannya. Selepas 2014, Menteri Besar ketika itu mahu melihat justifikasi yang perlu supaya setanding kenaikan.

Dalam sidang dewan disebut bahawa kajian kenaikan sudah selesai. Ia terlewat disebabkan penilaian penambahbaikan dalam kajian. Penjelasan?

jais kafaUmumnya, guru KAFA hanya mengajar empat jam bermula 2.30 petang hingga 6.30 petang. Kita melihat bagaimana untuk mempertingkat atau memperkasa guru KAFA melalui kenaikan itu.

Apabila adanya insentif, kita dapat mempertingkat kesediaan mereka sebagai guru. Seterusnya memberi impak baik hasil kenaikan itu. Contoh, pelajar lebih cemerlang. Jadi, kita mempertimbang justifikasi terbaik selaras kenaikan.

Apakah dan bagaimanakah justifikasi itu dinilai?

Antaranya masa mengajar yang tidak setanding dengan penjawat lain. Kita juga mempertimbang tempoh perkhidmatan guru. Ini bermaksud, ada guru berkhidmat tiga bulan, setahun, 10 tahun, 15 tahun dan mungkin lebih. Jadi, kita menilai semua itu ia bagi keadilan kepada semua. Tidak boleh diberi sama rata.

Beberapa justifikasi lain yang dicadang ialah bagaimana mahu memperkasa kekuatan guru itu sebagai pendidik. Dari segi pengetahuan agamanya ataupun kursus yang kita rancang supaya mereka benar-benar bersedia sebagai seorang pendidik.

Kerana ada perbezaan tempoh berkhidmat memerlukan kajian?

yunusYa. Itu yang kita lakukan. Kalau kira ia tidak adil kerana ada perbezaan tempoh perkhidmatan.

Bilakah sebenarnya kajian itu akan selesai?

Kajian dibuat tahun lepas kerana kita jangka hujung tahun itu juga selesai, kemudian dipersembah kepada Kerajaan Negeri untuk dibincang. Namun, pentadbiran Kerajaan Negeri ketika itupun tidak meletakkannya dalam belanjawan.

Ketika ini, kajian sudah selesai. Hanya menunggu masa dibincang pada peringkat negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Kajian akan dibentang oleh pengkaji diketuai Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Profesor Madya Datuk Halim Tamburi.

Kita hanya menunggu perbincangan dengan MMKN untuk putuskan justifikasi apa yang kita beri dalam memperkasa guru-guru  di samping menaikkan elaun RM1,500 itu.

Bilakah akan dibawa ke MMKN?

Saya sudah arahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyediakan kertas berkaitan. Insya-Allah selepas mempersembahkannya kepada Dato’ Menteri Besar untuk pengetahuan beliau, kita akan bawa ke MMKN dan putuskan.

Jika sudah dibawa ke MMKN, bilakah kenaikan dapat diimplementasi?

Ia tidak akan mengambil masa lama. Pada hakikatnya, konsep yang dibawa ini tiada dalam belanjawan tambahan tetapi implementasinya akan dilakukan tahun depan. Soal keputusan, kita boleh putuskan bila-bila masa walaupun tidak dibajetkan tahun ini.

KAFA-Grafik

Belum dibawa ke MMKN tetapi yakin dapat diimplementasi?

Secara dasarnya, saya sudah berbincang dengan Dato’ Menteri Besar. Kita melihat ia bukanlah sesuatu jumlah begitu besar walaupun melibatkan lebih 6,000 guru KAFA. Implikasi kewangan kurang RM18 juta setahun. Saya melihat Dato’ Menteri Besar seolah-olah bersetuju.

Berapa kali elaun guru KAFA dinaikkan dan berapa nilainya?

Ini elaun bukan gaji. Kalau dulunya (zaman pentadbiran Umno BN) sekadar RM250 kemudian RM700 tetapi pada era Pakatan, dinaikkan kepada RM1,000 dan kemudian, naik lagi kepada RM1,300.

Kini, kita bercadang naikkan kepada RM1,500. Kita mahu jadikan ia sebagai pendapatan tetap kerana tiada kenaikan kalau ikut perjanjian. Mereka penjawat sambilan bukan penjawat awam. Pada masa ini, sumbang-an Kerajaan Persekutuan hanya RM800 manakala Kerajaan Selangor sebanyak RM500.

Apakah ada pihak sengaja mensensasi isu ini sedangkan kenaikan tetap dilaksanakan cuma menunggu masa sesuai?

Isu bermula dari dua daerah yang saya turun padang menerusi program ‘Kampungku’. Kita sudah jumpa dengan semua guru. Saya kira sebahagian besarnya cukup memahami. Bukan kita tidak mahu laksanakan tetapi menunggu masa sesuai untuk diputuskan.

Ia perkara yang tidak berapa molek. Kalau sekadar menyampaikan surat, tidak perlu masuk ke Dewan Negeri Selangor (DNS) ketika bersidang sedangkan boleh diserah kepada wakil. Saya pun boleh berjumpa. Tiada masalah. Cara itu tidak kena kerana DNS ada peraturannya.

Nasihat kepada guru KAFA terhadap kenaikan itu, apatah lagi ketika ini, kehidupan semasa amat menekan rakyat?

Bersabarlah supaya kita berlaku adil dengan penjawat lain. Tidak dinafikan pekerjaan itu cukup mulia kerana pada masa sama ia mengangkat Islam. Tetapi justifikasi yang kita lakukan, baik supaya ia setanding imbuhan itu nanti.

Kita buat mengikut pasar garis kemiskinan. RM1,500 ialah kadar minimum, mungkin akan diguna pakai kepada semua kerana ia merupakan elaun, kita lihat kaedah mana yang baik dan adil.

Leave a Reply

Your email address will not be published.