Categories
SELANGOR

PJ & Shah Alam terima anugerah antarabangsa hargai alam sekitar

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM 22 APR: Petaling Jaya dan Shah Alam diiktiraf antara 163 bandar raya di dunia yang menunjukkan komitmen dalam usaha menghadapi perubahan iklim dunia.

Menerusi kenyataan dalam laman web World Wide Fund for Nature (WWF), kedua-dua majlis bandaraya berkenaan diiktiraf juri antarabangsa menerusi Anugerah Earth Hour City Challenge 2015 baru-baru ini.

EARTHBertempat di Seoul, Korea, hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pemangku Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahmat Mohayen Said dan Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Lee Lih Shyan.

Petaling Jaya menjadi pemenang pertama ketegori Malaysia’s National Earth Hour Capital yang julung kali diperkenalkan tahun ini.

Komitmen MBPJ mempraktikkan penggunaan karbon rendah dan kecekapan tenaga mencuri perhatian panel juri.

Begitu juga dengan usaha meluaskan amalan itu di pelbagai bidang selain inisiatif menarik penyertaan orang ramai terhadap usaha murni berkenaan.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula dihadiahkan Anugerah Khas atas usaha berterusan berhubung isu sisa buangan, mobiliti dan peningkatan kesedaran awam.

Peruntukan bajet MBSA dalam hal pelaksanaan penyesuaian dan langkah berkaitan mengatasi perubahan iklim juga sangat dipuji.

WWF’s Earth Hour City Challenge menyaksikan penyertaan 163 bandar raya daripada 16 buah negara.

Kesemuanya dinilai menerusi komitmen dan inovasi menjalankan pembangunan berkarbon rendah.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.