Categories
SELANGOR

Selangor kaji kadar baru Bantuan Am & Pendapatan Garis Kemiskinan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 APR: Kadar baru bagi Skim Bantuan Am sedang diteliti Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaras dengan Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi (PKR-Sementa) berkata, Kerajaan Negeri ketika ini sedang mengkaji kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) penduduk negeri bagi merealisasikan skim baru itu.

Katanya, PGK peringkat Nasional bagi tahun 2012 bagi Semenanjung Malaysia yang ditetapkan untuk kategori miskin adalah RM830 seisi rumah, manakala miskin tegar pula RM520 seisi rumah.

Penduduk Bukit Botak 04“Namun, Selangor tidak boleh menggunakan PGK Nasional kerana kita negeri termaju.  Dengan ini, pada tahun 2009, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju dan memutuskan supaya PGK Selangor dinaikkan ke paras realistik dan bertanggungjawab iaitu RM1,500.

“Namun begitu, tiada satu asas atau justifikasi pengiraan secara terperinci dibuat bagi kenaikan PGK ini,” katanya menjawab pertanyaan mulut daripada Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil).

Daroyah berkata, pendefinisian kemiskinan dalam konteks Selangor itu dijangka akan dikemas kini secara lebih tepat dan holistik berdasarkan hasil perangkaan umum berkaitan kemiskinan bagi penduduk dan penetapan indeks PGK terkini negeri melalui Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum.

Katanya, ia juga berupaya mengenalpasti, merangka serta menentukan hala tuju, strategi, dasar baru dan bajet yang lebih komprehensif bagi membasmi kemiskinan secara total juga efektif.

dr daroyah“Setakat ini, bagi Bantuan AM (BA), Kerajaan Negeri memberikan RM100 hingga RM175 kepada golongan yang memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah skim bantuan persekutuan lain.

“Manakala, bagi Bantuan Latihan Perantis (BLP) diberikan kepada anak penerima bantuan bulanan jabatan, bekas pelatih dari institusi kebajikan dan kes seliaan akhlak sebanyak RM250.

“Selain itu, bagi Bantuan Bencana pula, RM5,000 (maksimum) dan bantuan Pengurusan Penyediaan Makanan semasa bencana bagi taksiran mengikut kemusnahan harta benda dan tempoh berada di pusat pemindahan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.