Categories
SELANGOR

SS2 berwajah baru, sentuhan seni dinding tarikan baharu

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 18 APR: Lorong tepi dan belakang di kawasan komersial SS2 yang dulunya suram kini menerima sentuhan baru melalui lukisan dinding (mural) hasil penggiat seni tempatan.

Berkonsepkan “Bestnya Malaysiaku”, lorong di SS2 kini menjadi medan buat orang ramai terutama penggemar seni untuk mengabdikan gambar kenangan apabila berkunjung ke situ.

seni dindingDatuk Bandar Petaling Jaya, Azizi Mohd Zain, berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan kegiatan seni sebegini kerana ia dapat menceriakan kawasan lorong yang sinonim dengan tempat kotor.

“Dengan adanya aktiviti mencantikkan lorong belakang dan tepi, ia dapat memberi wajah baru dan boleh menarik minat pelancong untuk berkunjung ke situ.

“Lorong belakang kini dimanfaatkan sebagai tempat menarik dan secara langsung meningkatkan lagi kebersihan persekitaran dan mengubah persepsi masyarakat,” katanya.

Majlis Pelancaran Lukisan Seni Dinding SS2 itu disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, dekat sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Lukisan dinding itu menampilkan sembilan karya antaranya ‘Forgiveness’, ‘Singing In The Rain’, ‘Suara Anak Malaysia’, ‘Lat Tali Tamplom’, ‘Stay Under The Roof’, ‘Bestnya Malaysiaku’, ‘Memories of Anak Malaysia’, ‘Kedai Gunting Rambut Lyla’ dan ‘Fantasy Malaysia’.

Projek anjuran Pejabat Khidmat DUN Damansara Utama itu mula dilaksanakan November tahun lalu.

Kesemua lukisan dipertandingkan itu dinilai pihak juri dengan juara menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, naib juara RM2,000 dan tempat ketiga sebanyak RM1,000.

Sementara itu, Bee Yin ketika ditemui berkata projek seni berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kira-kira 112 penyertaan.

Katanya sejumlah RM20,000 diperuntukkan untuk pelaksanaan projek itu dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Kita mula tahun lepas dengan membuka penyertaan kepada semua untuk menyertainya tetapi disebabkan musim hujan, kita tidak dapat laksanakan pada ketika itu.

“Peserta memulakan projek mereka kira-kira enam minggu lalu dan kita sudah selesai buat pemilihan serta berharap lebih banyak penyertaan sekiranya ia dilaksanakan lagi untuk masa akan datang,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.