Categories
SELANGOR

300 dirai Pekawanis ‘Indahnya Menjadi Ibu’

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 MEI: Perasaan terharu dan gembira menguasai suasana kira-kira 300 wanita yang diraikan sempena sambutan Hari Ibu di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor semalam.

Sambutan bertemakan ‘Indahnya Menjadi Ibu’ itu dianjurkan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).

Ia bagi memberi pengiktirafan kepada wanita bergelar ibu berdasarkan sambutan yang diraikan di seluruh dunia pada bulan Mei setiap tahun.

PekawanisIsteri Dato’ Menteri Besar , Shamshida Taharin, berkata Hari Ibu adalah hari paling istimewa untuk meraikan individu yang memberi kehidupan kepada seorang anak.

Katanya kasih ibu sangat istimewa dan tiada tandingan kerana mereka adalah insan yang sanggup berkorban demi kebahagian anak-anak.

“Ibu mengetepikan impiannya demi memenuhi keperluan anaknya untuk memastikan kesejahteraan mereka dari segi fizikal dan emosi.

“Setiap kesakitan dan keresahan anak mahu diredakannnya kerana bagi seorang ibu, kebahagian anak adalah kebahagian buat dirinya,” katanya.

Sebagai seorang ibu kepada enam orang anak, Shamshida berkata beliau turut mendepani cabaran dalam membesarkan mereka yang pelbagai karenah.

Namun, katanya setiap seorang daripada mereka adalah istimewa di sebalik personaliti dan minat yang berbeza.

“Kita perlu terima kekurangan dan kesilapan mereka lakukan kerana harus diingat apabila seseorang melakukan kesalahan, kita patut tidak suka pada kesalahan dilakukan bukan pada orang dan diri melakukannya.

“Ini kerana manusia boleh berubah, apatah lagi jika anak sendiri yang Allah amanahkan untuk menjaga dan mendidiknya,” katanya.

Dalam majlis itu, Shamshida turut menerima kejutan apabila anak-anaknya menghadiahkan jambangan bunga ros sebagai tanda penghargaan.

Shamshida kemudiannya turut memberi jambangan bunga kepada ibunya, Siti Rahmah Ismail, 78 dan ibu mertuanya Che Tom Yahya, 80.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.