Categories
NASIONAL

Azmin: RMK-11 gagal fokus ketirisan, salah guna kuasa

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak gagal memberi fokus penyelesaian kepada masalah ketirisan dan salah guna kuasa.

Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) berkata, kerajaan harus menyediakan pelan untuk menyemak dan meneliti semula masalah itu kerana turut melibatkan beberapa agensi besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lembaga Tabung Haji.

mb parlimen1“Malangnya, tak ada satu fokus untuk meneliti dan menyemak semula persoalan ketirisan, salah guna kuasa dan penyelewengan yang menyumbang kepada jumlah besar seperti dilaporkan Ketua Audit Negara.

“Jika kerajaan tidak mempunyai sokongan moral untuk memastikan ketirisan dapat dihentikan, pelaksaaan program seperti itu akan terganggu dan terbantut terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu hari ini.

“Perkara itu disebabkan dana dan hasil negara yang ada tidak diurus dengan baik serta bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Tabung HajiBeliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, situasi itu akan menggugat keyakinan pelabur untuk terus bersama merancakkan pembangunan ekonomi negara.

“Kita sudah lihat insiden sebelum ini seperti 1MDB dan Lembaga Tabung Hai apabila langsung tidak disentuh langkah yang diambil kerajaan untuk mengatasi masalah yang berlaku.

“Keyakinan pelabur tempatan dan asing akan terhakis untuk mengembangkan ekonomi dalam negara kita,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.