Categories
NASIONAL

RMK-11: Pesanan Tun M untuk belia akhiri ucapan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakhiri ucapan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan Rakyat, semalam dengan meninggalkan pesanan kepada generasi muda.

Katanya, golongan itu perlu belajar menjadikan Malaysia sebagai negara maju kerana mereka bakal mewarisi perjuangan bangsa dan negara, pada masa akan datang.

“Harapan saya adalah pada anak muda, sbahagian besar generasi saya sudah pergi dan kepada siapa akan kami tinggalkan nasib bangsa serta negara ini, kalau tidak kepada generasi muda.

“Saya seru kepada generasi muda, belajarlah segala ilmu yang boleh menjadikan Malaysia negara maju, dapatkan segala kemahiran, perkukuhkan jati diri, pegang teguh pada agama dan nilai murni,” katanya.

Beliau berkata, generasi muda perlu menolak rasuah sekeras-kerasnya dengan menghayati kebenaran, kejujuran dan keadilan.

Katanya, imej Malaysia akan bertukar daripada sebuah negara kleptokrat kepada demokrasi tulen dengan kerajaan bersih, luhur dan berintegriti.

“Rakyat Malaysia di seluruh pelusuk dunia boleh memperkenalkan dirinya dengan bangga: Saya rakyat Malaysia.

“Inilah tekad kita, inilah janji kita, saya berdoa kepada tuhan supaya kita dapat melaksanakannya bersama seluruh bangsa Malaysia,” katanya.

Categories
NASIONAL

RMK-11: Rapat jurang bandar dan luar bandar

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dirapatkan bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara langkah diambil adalah meluaskan rangkaian jalan raya dengan membina dan menaik taraf 1,500 kilometer jalan luar bandar.

“Kerajaan juga memperluas akses kepada bekalan air bersih dan terawat meliputi sasaran 60,000 tambahan rumah, meluaskan akses bekalan elektrik kepada sasaran 41,160 tambahan rumah.

“Sementara itu, infrastruktur digital akan dipertingkat untuk memperluas liputan dan menambah baik kualiti jalur lebar melalui pembinaan 300 menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf 1,000 menara sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Katanya, aktiviti ekonomi setempat di luar bandar akan ditingkatkan untuk menjana pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan.

Beliau berkata, aktiviti ekonomi luar bandar yang mampan seperti industri asas tani, ekopelancongan dan agropelancongan juga akan digalakkan.

“Bantuan akan diberi termasuk menyediakan premis perniagaan untuk usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di luar bandar,” katanya.

Categories
NASIONAL

RMK-11: Kerajaan sasar bina 200,000 rumah mampu milik

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan Persekutuan menyasarkan pembinaan 200,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 2018-2020 dengan menggalakkan pembabitan meluas oleh sektor swasta.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia dilaksanakan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Majlis Perumahan Mampu Milik Negara akan ditubuhkan untuk menyelaras pengurusan perumahan mampu milik awam.

“Tumpuan juga akan diberi untuk membendung kenaikan harga barang melalui pelbagai langkah seperti kawalan harga, mempergiat penguat kuasaan dan mempertingkat tahap konsumerisme,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), di Dewan Rakyat.

Katanya, pelbagai inisiatif akan dilaksana bagi meningkatkan kuasa beli rakyat dan mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup.

Selain itu, katanya, kerajaan juga tekad untuk memperkukuh sistem penyampaian penjagaan kesihatan.

“Antara langkah diambil dengan mewujudkan dasar kesihatan negara, meningkatkan kapasiti modal insan dan kemudahan kesihatan serta mengkaji model skim penjagaan kesihatan ke arah mewujudkan skim pembiayaan kesihatan nasional,” katanya.

Sementara itu, dalam meningkatkan kapasiti kemudahan kesihatan awam, Tun Dr Mahathir berkata, sebuah pusat kanser wilayah utara akan dibina sebagai pelengkap kepada Institut Kanser Negara.

“Kerajaan juga akan mewujudkan pusat kawalan dan pencegahan penyakit kebangsaan di Nilai, Negeri Sembilan untuk mengesan, mencegah dan mengatasi ancaman penyakit,” katanya.

Categories
NASIONAL

RMK-11: Sedia infrastrukur berkualiti

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Pembinaan lebuh raya di luar kawasan Lembah Klang akan diberi keutamaan termasuk meneruskan pelaksanaan jajaran Central Spine Road dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai bagi memperkukuh jaringan perhubungan merentas wilayah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan memastikan infrastruktur disediakan berkualiti dari segi integrasi, liputan, kemampuan dan kemampanan.

Katanya, kerajaan juga akan melakukan pembesaran terminal, pemanjangan landasan dan penambahbaikan kemudahan bagi lapangan terbang terpilih, misalnya menaik taraf kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

“Pertumbuhan logistik dan fasiliti perdagangan akan dipertingkat melalui inisiatif uCustoms, gerbang tunggal yang menyediakan proses bersepadu dan lengkap bagi pelepasan kargo.

“Inisiatif ini akan meningkatkan kecekapan dan produktiviti serta daya saing pemain logistik Malaysia yang akan dilancarkan pada awal 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan Dan Penekanan Baharu, di Dewan Rakyat.

Di samping itu, katanya, kerajaan juga akan meningkatkan kapasiti dan liputan jalur lebar menerusi National Fiberisation and Connectivity Plan dengan sasaran 95 peratus, di kawasan berpenduduk.

Katanya, usaha menambah baik perkhidmatan bekalan air kepada negeri yang mempunyai rizab margin rendah seperti Kedah dan Perlis akan diberi keutamaan dengan menaik taraf loji sedia ada serta membina loji baharu.

“Langkah ini termasuk pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan berpusat di bandar utama seperti Alor Setar, Kuantan dan Taiping,” katanya.

Menerusi Tonggak 6: Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi, katanya, kerajaan juga akan meningkatkan kecekapan bekalan tenaga elektrik menerusi pelaksanaan fasa kedua Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), dari 2018 hingga 2020.

Tun Dr Mahathir berkata, kecekapan dan daya harap bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia akan ditingkatkan, manakala pelaksanaan IBR diperluas ke Sabah dalam tempoh akhir rancangan.

“Langkah ini akan dicapai melalui pembinaan fasiliti terapung gas asli cecair yang kedua milik PETRONAS di luar pesisir pantai Sabah dan projek Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor.

“Sementara itu, pembinaan loji janakuasa baharu akan dilaksanakan melalui bidaan kompetitif supaya lebih telus dan wujud persaingan sihat dalam kalangan pemain industri,” katanya.

Categories
NASIONAL

RMK-11: SPRM ditransformasi sebagai badan bebas

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan bertekad untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti serta membanteras gejala rasuah secara menyeluruh membabitkan sektor awam juga swasta.

Justeru, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan ditransformasi sebagai badan bebas dan Akta SPRM 2009 akan dikaji semula secara menyeluruh.

“Undang-undang pencegahan rasuah juga akan diperkukuh dengan mengkaji semula Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Rakyat perlu ada tempat untuk mengadu; Ombudsman Malaysia akan ditubuhkan untuk menyiasat dan melaporkan secara bebas aduan terhadap agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, bagi mempertingkatkan integriti Polis Diraja Malaysia pula, Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis akan ditubuhkan.

Sementara itu, ketika menyentuh isu pengurusan kewangan negara, kerajaan mengambil langkah menguat kuasakan pelaksanaan pengurusan kewangan awam secara berhemat.

Pada masa sama, katanya, reformasi menyeluruh ke atas mekanisme pengurusan dana awam juga akan dilaksana.

“Strategi yang akan dilaksana adalah mempertingkat sistem belanjawan negara, menambah baik pengurusan perolehan dan memperkukuh rangka kerja pengurusan prestasi, pemantauan serta penilaian,” katanya.

Categories
NASIONAL

RMK-11: PKS dan pertanian mampu sumbang KDNK tinggi

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan meletakkan matlamat untuk meningkatkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 41 peratus, pada 2020.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan menyedari kepentingan kumpulan ini dalam pembangunan ekonomi dan akan terus berusaha mewujudkan PKS berdaya tahan serta mampan.

Ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan Dan Penekanan Baharu di Dewan Rakyat, beliau berkata, sumbangan PKS kepada industri eksport juga akan ditingkatkan melalui inisiatif pengantarabangsaan dan promosi eksport.

“Menerusi Tonggak 6: Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi, tumpuan turut diberikan kepada sektor pertanian dengan keutamaan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan, menjelang 2020.

“Reformasi subsektor agro makanan akan diteruskan bagi meningkatkan sumbangannya kepada nilai pertanian sebanyak 42.8 peratus, pada 2020 serta mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.

“Ini termasuk inisiatif mengurus permintaan dan penawaran makanan, pembangunkan input alternatif serta sumber kekayaan baharu juga memperkenalkan aktiviti pertanian nilai tambah tinggi,” katanya.

Selain itu, katanya, Malaysia akan dijenamakan semula sebagai destinasi pelancongan utama dan memanfaatkan produk ekopelancongan tempatan untuk menarik lebih ramai pelancong.

Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan juga akan berusaha mewujudkan ekosistem dinamik dan memanfaatkan platform digital seperti teknologi e-dagang untuk mempromosi produk serta perkhidmatan bagi menembusi pasaran antarabangsa.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

RMK-11: Pembangunan perlu tekan aspek lindungi alam sekitar

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan akan memberi penekanan kepada aspek perlindungan alam sekitar selaras Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan dengan menetapkan garis panduan dan mengkaji semula semua dasar serta perundangan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negara menyasarakan kedudukan terbaik antarabangsa dalam amalan pengurusan sumber hijau dengan mensyaratkan semua projek pembangunan perlu mematuhi standard perlindungan alam sekitar dan garis panduan pembangunan.

“Usaha untuk melindungi, memulihara dan memulihkan khazanah strategik negara penting bagi memastikan kemampanan dan sumbangan berterusan kepada pembangunan.

“Dalam hal ini, rangka kerja institusi akan diperkukuh, manakala kapasiti dan keupayaan pemantauan serta penguat kuasaan akan ditambah baik.

“Pelaksanaan pematuhan kendiri terpimpin dalam kalangan industri akan diperluas, manakala masyarakat dan pihak berkepentingan akan terus digalak untuk menghargai serta melindungi alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul berkenaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan Dan Penekanan Baharu, di Dewan Rakyat.

Katanya, pewartaan lebih banyak kawasan terestrial, air daratan, pesisir pantai dan marin sebagai kawasan perlindungan akan dipergiat selain menyediakan lebih banyak laluan untuk hidupan liar.

Dalam usaha menangani perubahan iklim dan mengurangkan risiko bencana, katanya, kerajaan akan menyediakan pelan tindakan mitigasi nasional dan meneliti pelaksanaan cukai karbon bagi memenuhi komitmen di bawah Perjanjian Paris.

“Langkah itu juga seiring pengurangan penggunaan plastik dan bahan api fosil melalui peningkatan sumbangan tenaga boleh baharu (renewable) dalam penjanaan elektrik.

“Penjanaan elektrik daripada biojisim dan biogas akan digalak, manakala daya maju teknikal serta potensi aplikasi komersial teknologi baharu akan diteroka seperti grid mikro juga penyimpanan tenaga dalam bateri.

“Di samping itu, pengurusan permintaan tenaga akan terus diperkukuh melalui penyediaan pelan induk bagi meningkatkan kecekapan dan penjimatan tenaga, termasuk penggunaan sistem LED,” katanya.

Menyentuh soal pengurusan risiko bencana, katanya, kerajaan akan membangunkan sistem bersepadu bagi ramalan cuaca dan banjir serta amaran awal banjir.

Categories
NASIONAL

RMK-11: Tingkat kuasa autonomi Parlimen

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kuasa autonomi Parlimen akan ditingkatkan dengan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 sebagai langkah menambah baik urus tadbir sedia ada.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, menerusinya, satu sistem jawatankuasa pemilih
akan diwujudkan yang memperaku pelantikan jawatan utama di beberapa suruhanjaya dan jabatan.

“Ia membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

“Suruhanjaya tertentu seperti SPRM dan SPR juga bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen,” katanya ketika mementangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), di Dewan Rakyat.

Pada masa sama, katanya, hubungan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan akan ditambah baik dengan mengembalikan semula semangat federalisme.

Katanya, Kerajaan Negeri akan diperkasa melalui proses pengagihan kuasa pusat bagi beberapa fungsi termasuk pengangkutan awam, perkhidmatan sosial dan perlindungan alam sekitar.

Categories
NASIONAL

RMK-11: Tempoh jawatan PM dihadkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan Persekutuan akan mengambil langkah segera untuk mereformasikan sistem politik dan pentadbiran negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara langkah terbabit ialah menghadkan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal.

“Perdana Menteri juga tidak akan memegang portfolio lain,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan undang-undang berkaitan pembiayaan politik dan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Katanya, kerajaan turut menambahbaik sistem pilihan raya dengan membersihkan daftar pemilih, menambah baik proses pengundian pos dan menyediakan akses adil kepada media.

“Selain itu, langkah tegas dan berkesan akan dilaksana untuk mempertingkat mekanisme semak dan imbang pada semua peringkat.

“Manakala, sistem pentadbiran undang-undang juga akan dimantapkan dengan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya supaya diurus dua individu berlainan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan yakin kedudukan fiskal pulih menjelang akhir 2020

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan yakin kedudukan fiskal dapat dipulihkan pada akhir 2020 dengan mensasarkan perkembangan ekonomi antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun bagi tempoh 2018-2020.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun Kerajaan mengamalkan langkah berjimat cermat sepanjang tempoh berkenaan yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi tetapi ia hanya bersifat sementara, di samping mensasarkan defisit tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ekonomi disasarkan berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, disokong oleh permintaan dalam negeri dan luar negeri terutama permintaan kukuh dalam kalangan negara rantau Asia.

“Permintaan swasta dijangka kekal menerajui pertumbuhan ekonomi dengan pelaburan swasta dijangka berkembang 5.7 peratus setahun.

“Dengan penambahbaikan tadbir urus dan peningkatan hasil, kerajaan yakin kedudukan fiskal dapat dipulihkan, pada akhir tahun 2020.

“Saya yakin dengan langkah membasmi ketirisan dan pelaksanaan projek pembangunan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul berhubung Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan dan Penekanan Baharu, di Dewan Rakyat.

Berbanding tempoh dua tahun pertama Rancangan 2016-2017, KDNK negara berkembang 5.1 peratus setahun dalam suasana inflasi pada kadar purata 2.9 peratus.

Pertumbuhan itu didorong oleh permintaan agregat swasta yang kukuh dengan pelaburan dan penggunaan swasta sebagai pemacu.

Dr Mahathir berkata, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan perlu dikukuhkan semula menerusi perbelanjaan secara cermat kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional dahulu berbelanja dengan boros dan tidak berhemat.

“Amalan kewangan yang tidak telus akan dihentikan dan ketirisan pada semua peringkat ditangani.

“Langkah ini termasuk mengkaji semula pelaksanaan projek yang tidak mampan dan membatalkan projek berkeutamaan rendah.

“Namun, projek pembangunan sosioekonomi yang berimpak tinggi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat akan diteruskan,” katanya.

Katanya, antara langkah proaktif yang berjaya diambil adalah menangguhkan pelaksanaan High Speed Rail (HSR).

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, kerajaan juga perlu memastikan pengurangan perbelanjaan awam tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Categories
NASIONAL

RMK-11 hanya ilusi jika ketirisan tak diatasi

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Kerajaan Persekutuan perlu mengatasi pelbagai masalah ketirisan dan penyalahgunaan kuasa bagi merealisasikan segala perancangan dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, pelaksanaan RMK-11 bakal gagal kerana sebahagian besar perancangan RMK-10 juga tidak dapat ditunaikan.

RMK-11“Dalam RMK-10 pun gagal. Bagaimana nak dilaksanakan perancangan dalam RMK-11? Maka, sebab itu saya anggap ia hanya satu ilusi,” katanya kepada Selangor Kini di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perancangan RMK-10 terbantut disebabkan masalah kebocoran, rasuah dan tidak telus undang-undang yang banyak.

Katanya, sebahagian besar perancangan dalam RMK-10 mampu mampu dilaksana jika kerajaan serius menangani segala masalah itu dengan peruntukan yang cukup.

johari abdul parlimen 01“Tindakan perlu adil dan terbuka dengan segala sistem dijalankan dengan telus. Ruang perlu diberi dengan kerajaan bersedia menerima kritikan awam seperti di Indonesia dan dengan sendirinya peningkatan ekonomi berlaku,” katanya.

Johari berkata, perancangan seperti RMK penting bagi menentukan hala tuju negara.

“Saya tiada masalah dalam rancangan RMK setiap lima tahun ini. Isunya, kita tiada pemantauan dalam setiap perancangan yang dibuat,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: RMK-11 tak cakna kebajikan, BN berat sebelah

Oleh : NAEEM RAFFI

PETALING JAYA, 23 MEI: Kerajaan Selangor menzahirkan rasa kesal dengan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang disifatkan tidak cakna kebajikan dan menghukum rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Persekutuan tidak wajar mengabaikan Selangor dalam arus pembangunan dan kemajuan selepas negeri itu setiap tahun memberi sumbangan terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

RMK-11“Sudah tentu kita kesal kerana Selangor adalah penyumbang utama iaitu 1/4 daripada KDNK negara.

“Kita mengharapkan dengan sumbangan terbesar KDNK ini, Kerajaan Persekutuan dapat menggunakan hasil itu untuk memulangkan kembali kepada rakyat Selangor dalam bentuk pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangor Kini selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam tadi.

MB AzminMohamed Azmin berkata, rangka tindakan ekonomi dalam RMK-11 jelas mencerminkan sikap berat sebelah Kerajaan Persekutuan apabila segala perancangan tertumpu di kubu kuat Barisan Nasional (BN) sahaja.

“Ini satu dasar yang tidak adil. Bukan sahaja jumlah wang yang diperuntukkan tetapi apakah kemampuan mereka melaksana program terbabit.

“Berapa jumlah wang diperuntukkan gagal diterjemah dalam bentuk program yang dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat selagi pentadbiran di Putrajaya tidak selesaikan masalah ketirisan, salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya.

-NFN-