Categories
SENI

CERPEN: Buku  Lama Dalam Almari Ayah

Oleh Ezzmer Daruh

Aku mengepal angin sepoi-sepoi yang bertiup lembut di cuping telinga. Aku gumpal dan masukkannya ke dalam  botol kaca.

Kemudian, aku goncang botol itu perlahan-lahan dengan harapan gumpalan angin aku tadi bertukar menjadi jelmaan mak. Namun sehingga terhempas botol kaca itu mak masih tidak muncul. Usaha aku gagal lagi.

Malam muncul lagi dalam pusingan waktu.

Buku itu sudah lama aku perhatikan. Ia hanya sebuah buku catatan biasa. Namun tiada siapa daripada kami adik beradik yang berani sentuh kerana ia berada dalam almari ayah.

Malam itu, ayah keluarkan buku itu semasa kami sedang makan malam. Debu pada permukaannya ditepuk dan disapu perlahan-lahan.

Aku tengok tangan ayah yang sudah berkedut kulitnya. Sudah lama usia tangan itu. Sudah banyak kerja kuat yang ia lalui. Demi kami adik beradik. Demi kami sekeluarga.

Aku hanya perhatikan raut wajah ayah yang nampak agak berat untuk membuka buku itu. Sungguhpun kami tidak tahu apa isi di dalamnya tetapi kami tidak sabar untuk mengetahui.

Dengan tangan terketar-ketar, ayah buka buku itu perlahan-lahan.

Kami hanya melihat dan meneruskan makan malam. Ayah perhatikan seorang demi seorang antara kami. Buku yang dibeleknya dari tadi ditutup semula.

“Malam ini kita hanya berempat ya.” Ayah terketar-ketar memulakan perbualan. Kami hanya memandang sesama sendiri.

“Semasa ayah menulis buku ini, ayah tidak pernah tahu di mana kita sedang duduk pada masa ini. Ayah hanya seronok menulisnya.

Ayah fikir kita hanya akan lalui masa yang gilang-gemilang antara kita. Tidak ada  cacat cela. Tidak ada gundah gulana.

“Tetapi ayah silap. Hidup berkeluarga seperti juga kita menjaga sebuah negara. Ayah sebagai kepalanya. Ayah tak pernah minta kita untuk jadi begini.

“Tetapi dalam sudut lain, ayah fikir ini cabaran buat ayah. Ayah ajak semua anak ayah di hadapan ini untuk harungi masa yang mendatang sebagaimana bahagia kita dahulu.”

Kami masih tidak mempunyai kata-kata untuk itu. Baik kak long, abang dan aku. Masing-masing tidak panggung kepala kepada ayah. Hanya menunduk. Kami malu buat ayah macam ini. Kami malu sebagai jagaan ayah, buat ayah berasa salah.

Ayah tidak sepatutnya berada dalam keadaan begini pada waktu ini. Ayah mesti terus rasa bangga dengan adanya anak-anak seperti kami. Tetapi kami telah buat ayah berasa sebaliknya.

“Ayah!” Kak long memulakan bicara.

“Kami minta maaf ayah. Buat ayah berasa bersalah. Kami yang patut bersatu dan pastikan tidak ada antara kami yang menyingkirkan keluarga ini.” Along menambah.

“Betul ayah, soal kak ngah nanti abang akan usahakan.”

Aku hanya diam. Sebagai anak bongsu aku tidak banyak bercakap.
Tetapi buat masa ini, tidak ada siapa yang bongsu tidak ada siapa yang sulung. Dari dalam mata hitam kecil ayah, tergerak suatu niat yang inginkan anak-anaknya terus bersatu untuk menjaminkan masa depan keluarga kami te-rus gemilang seperti 10 tahun lalu.

Seperti mula-mula kami naik rumah baharu dahulu. Ketika ayah mula membelek helaian demi helaian buku catatan itu, tekak aku seakan ingin bersuara.

“Ayah tahu semua rindukan mak, tapi kita tidak boleh pusing waktu ini. Kita sudah berada di tahun keenam pemergian mak. Walaupun jam din
ding rumah kita harganya beratus ribu tetapi masa terus ke hadapan.”

Nyata ayah telah membaca fikiran aku sepertimana dia pernah membaca fikiran anak-anaknya sebelum ini. Ayah sangat arif tentang perilaku anak-anaknya, begitu juga mak dahulu. Sering sahaja tertunai niat kami adik beradik walau tidak sepenuhnya dan walau lambat sedikit.

Ayah berusaha untuk puaskan hati anak-anaknya. Aku masih ingat. Setelah pulang dari sekolah, ayah minta aku untuk ke dapur dengan muka bengis. Aku tahu kalau ayah marah dia hanya membuat muka dan wajah itu sangat memberi kesan kepada kami.

Aku segera ke dapur dan mendapati terdapat sepasang rim basikal baharu. Ayah cakap ini hadiah kepadaku kerana sebelum itu ayah lihat aku menggosok rim basikal lama yang sudah karat.

Air mata aku menitis sayu.

Sekarang ini, di meja makan ini. Kami hanya berempat. Kalau dahulu kami berenam dan muat-muat duduk dalam kereta Proton Saga ayah. Kak Ngah sudah jarang pulang selepas bersuami. Dan kalau pulang pun ayah tidak dapat merasainya.

Kami tidak boleh buat apa hanya berserah pada yang Esa supaya bukakan hati dia dan suaminya supaya balik menjenguk ayah.
Mak pula sudah enam tahun pergi ke alam baqa’. Alam yang kekal dan mening
galkan kami di dunia sementara. Ayah tepuk belakang kami bertiga supaya tidak terus goyah, malah perlu lebih kental menghadapi usia mendatang.

Mungkin hasrat ayah yang telah lama terbuku sedikit terdedah. Ayah begitu terkilan dan pernah mengucapkan, “Ayah macam ada anak tiga orang.”

Dan buku itu perlu diselak hari demi hari untuk kami bertiga,lebih enak kalau berempat kerana ayah akan tinggalkan buku itu untuk catatan kami pula. Ayah menutup buku itu dan tinggalkannya.

Kami dapat lihat, ada tajuk tercatat “Sudah Lama Terbuku.”

Leave a Reply

Your email address will not be published.