Categories
SENI

‘Penulis mati selepas karya terbit’

Oleh Najmuddin Yusoff

Persoalan ‘penulis mati lepas karya terbit’ begitu rapat dengan Aziz Zabidi hingga melahirkan cerpen berjudul Deus Ex Machina terbitan Selangor Kini edisi 13 Mac 2015.

Ia kejutan menyenangkan. Apabila watak penulis novel remaja Desa Tercinta itu dimatikan dan dihidupkan kembali melalui emel yang bercerita tentang kesudahan novel yang ditulis belasan tahun lalu – jelas Aziz (dan mungkin ramai penulis lain) sebenarnya terbeban dengan karya sesudah menulisnya.

Setelah dibaca ramai orang, membuka ruang khayalan dan interpretasi tak terbatas, berjayakah karya mereka?

Adakah ia mencapai maksud yang diingini penulis? Adakah epal hijau yang cuba dihidang tapi dinikmati sebagai epal merah oleh pembaca? Atau lebih jauh, sebagai pisang? Adakah niat baik yang cuba didoktrin benar-benar memandu kepada kebaikan atau menyimpang hingga pembaca jadi jahat.

Berdosakah si penulis? Dalam cerpen itu, penulis novel itu membawa seksaan tersebut bersama ke kubur.

Mungkin kerana mahu membebaskan diri dari rasa terseksa, Aziz melalui Deus Ex Machina menegaskan penulis perlu dimatikan selepas karyanya terbit. Yang ada hanya karya yang menjadi hak pembaca untuk menentukan bagaimana mengkhayalkannya?

Penulis tidak perlu lagi memaksakan maksud asal karya ke atas pembaca. Aziz seolah-olah mahu memberitahu, secara kasarnya – sebagai pembaca, suka hati kaulah untuk memilih siapa bercinta dengan siapa. Kalau kau sendiri mahu bercinta dengan gadis di dalam cerpen, lakukannya. Itu hak engkau. Kalau itupun kau tidak boleh lakukan, tidak perlulah jadi pembaca.

Jadilah seorang yang tak perlu berfikir. Jadi orang mati.

Penulis hanya menunjukkan jalan. Terpulanglah kepada pembaca melalui lorong imaginasi. Aziz menunjukkan, setelah mematikan penulis novel Desa Tercinta itu, pembaca bebas mengolah kefahaman mereka. Lebih dahsyat menukar jalan cerita dan pengakhiran karya.

Terpulang. Penulis dimerdekakan, pembaca juga dibebaskan.

Membaca Deus Ex Machina, Aziz sebagai penulis tentu mengharapkan kita tidak lagi membebankan diri dengan soalan bukan-bukan. Jangan diganggu kerana dia sudah mati. Hidupnya selepas ini hanya untuk menulis cerpen seterusnya.

Apabila mengulas cerpennya, Aziz tidak perlu dipertanggungjawab untuk membetulkan ulasan ini. Bahawa mungkin cerpennya itu sebenarnya mahu berwacana tentang bagaimana rupa bentuk karya bermoral, misalnya. Ketepikan kerana ini jalan yang dipilih sebagai pembaca (dan pengulas).

Apabila Syahmi Fadzil menamatkan cerpennya Unicorn Sebelah Rumah (Selangor Kini terbitan 5 Mac 2015) dengan dialog “untuk bebas tanpa tujuan, ia membosankan”, terpulanglah kepada pembaca untuk memilih kefahaman bagaimana tentang kata ‘bebas’, ‘tujuan’ dan ‘membosankan’.

Saya memilih untuk memahami bahawa tiada kebebasan yang wewenang dalam hidup. Kebebasan sebenar apabila kita menyerah sepenuhnya kepada Yang Maha Berkuasa. Paradoks bukan, kebebasan dan menyerah pada masa sama?

Apabila Good Boy karya Ridhwan Saidi (Selangor Kini bertarikh 26 Februari 2015) mewatakkan seorang lelaki yang taat kepada bos, mungkin pembaca memahami itu ciri-ciri pekerja yang baik. Dalam hubungan hamba dengan Tuan, itulah yang kita cari.

Mungkin ada pembaca mengatakan itulah lelaki dayus yang perlu disebat 40 kali di laman KLCC, biar satu dunia tahu kedayusannya. Adakah Ridhwan perlu tampil menceritakan niatnya menulis cerpen itu? Bagaimana kalau Ridhwan mengatakan kedua-dua jalan itu tidak benar?

Dalam diskusi di Facebook E-Sastera Kritikan, mengapa menulis kalau pembaca tidak perlu mengikut kefahaman penulis? Maka, kesilapan besar menjadi penulis mengharapkan orang hanya bersetuju dengan kita.

Menulis karya kreatif mencipta dunia baru. Dalam dunia luas itu, penglihatan manusia terhad. Penulis bijak akan mahu melihat dari kaca mata orang lain, agar dia dapat menimba pengalaman baru dalam dunia yang diciptakan.

Bagi Prof Dr Irwan Abu Bakar, pengasas esastera – tidak sahaja terhad kepada karya tulisan – apa sahaja yang berlaku seharian, dilihat mengikut siapa kita, bukan apa perkara itu.

Karya hanya dinilai berdasarkan siapa dan apa niat pembaca/penerima. Bukan bagaimana niat asal penulis. Pembaca akan sentiasa menang. Sekurang-kurangnya menurut Aziz, dunia sastera kita punya satu contoh klasik.

“Apabila Interlok dibantah oleh masyarakat India atas alasan teks tersebut menyokong rasisme, SN Abdullah Hussain menyanggah dan menyatakan niat kepengarangannya, pun begitu pada akhirnya, teks itu ditarik balik daripada menjadi teks pengajaran di sekolah.

“Pembaca yang mentafsir teks itu sebagai teks yang berbau rasis telah menang, mengatasi tafsiran pengarang sendiri,” tulis Aziz.

Doktrin ‘penulis mati lepas karya terbit’ walau terdedah kepada segala macam interpretasi, ia penting untuk membebaskan pengarang dari bebanan moral hasil perbezaan fahaman pembaca.

Jika tidak, tiada yang akan mahu jadi penulis. Dan yang rugi adalah pembaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published.