Categories
SENI

CERPEN: Jembalang muncul di perpustakaan kampung kami

Oleh HANIFF YUSOFF

WUJUDKAH jembalang?

Saya percaya segala macam kecanggihan teknologi dan juga fenomena ais krim pasu pada masa kini tidak mampu menafikan kewujudan jembalang-jembalang di muka bumi ini.
Mungkin manusia yang mempunyai saraf-saraf kemodenan yang terlalu ekstrem pada otaknya tidak pernah mempercayai entiti yang digelar ‘jembalang’ ini biarpun jenis-jenis jembalang pernah disebut dalam sebuah filem seniman agung, P. Ramlee.
Sebenarnya aku sendiri tidak menyalahkan golongan yang tidak mempercayai jembalang ini kerana mungkin mereka sendiri belum pernah terserempak de-ngan entiti yang menakutkan ini.

Perpustakaan di kampung kami memang sudah lama tidak dipedulikan masyarakat. Maklumlah, orang sekarang lebih cakna akan kemunculan ais krim pasu dan segala cereka-cereka yang berkaitan dengan suami.

Entahlah saka mana yang telah merasuk masyarakat di kampung ini sehinggakan perkara yang remeh lebih diutamakan sedangkan kita perlu lebih fokus dan berfikiran lebih matang dalam usaha mencapai Wawasan 2020.

Walau bagaimanapun, akhir-akhir ini perpustakaan di kampung kami sering disebut-sebut masyarakat sekampung, malah ada wartawan yang sanggup ke kampung kami untuk mendapatkan bahan berita setelah kejadian di kampung kami ini tersebar luas.

Malapetaka yang menimpa perpustakaan yakni sebuah gedung yang menyimpan khazanah ilmu bukanlah sesuatu perkara yang baru. Pernah suatu ketika dahulu, sebuah perpustakaan yang dikenali sebagai Bayt al-Hikma telah mengalami malapetaka apabila dibakar. Sayang seribu kali sayang, perpustakaan yang kaya dengan karya terjemahan ini musnah begitu sahaja.
Kebijaksanaan yang ada dibakar dan dibuang ke dalam sungai Tigris. Dan kini, perpustakaan di kampung kami pula menerima nasib malang apabila dihuni jembalang-jembalang.

Berita kemunculan jembalang-jembalang di perpustakaan kami bermula apabila beberapa orang remaja yang melintasi perpustakaan itu ternampak kelibat makhluk aneh yang sangat menyeramkan mereka. Dalam kesamaran cahaya lampu jalan ketika itu, rasa ketakutan tiba-tiba menerjah perasaaan mereka yang baru pulang dari menikmati keseronokan duniawi.

Keesokan harinya, cerita itu mula tersebar di kampung kami dan kejadian seperti itu semakin kerap berulang sehingga ada yang tidak kuat imannya mudah sahaja kerasukan. Sejak itu juga, perpustakaan kampung kami semakin sepi daripada dikunjungi.

Saya masih belum dapat menerima segala yang berlaku kerana perpustakaan di kampung kami merupakan tempat yang sering saya singgahi kala saya kebuntuan. Daripada saya terus
membiakkan kutu di kepala, lebih baik saya ke perpustakaan untuk membaca. Mungkin boleh tumbuh pohon emas kebijaksanaan pula di kepala saya. Sayalah yang untung, menjadi kaya-raya.

Biarpun kisah-kisah jembalang di perpustakaan masih merayap-rayap di kampung kami, saya ketepikan perasaan takut dan tetap mahu  menjengah perpustakaan di kampung kami itu.

Kehadiran saya disambut dengan rasa kesunyian yang melata-lata di perpustakaan itu. Pustakawan yang menjaga perpustakaan di kampung kami juga sudah berhenti kerja kerana sering diganggu jembalang. Saya terus meluru ke rak yang paling saya gemari, namun sayang seribu kali sayang kerana banyak buku yang sudah hilang.

Mata saya meliar melihat rak-rak buku lain yang ada di dalam perpustakaan, dan ternyata bahawa buku-buku di dalam perpustakaan di kampung kami ini semakin berkurang-an. Saya fikir mungkin ada konspirasi dalam kejadian kemunculan jembalang-jembalang di perpustakaan kami ini.

Dalam sebuah perjumpaan yang diadakan untuk mencari jalan penyelesaian yang sepatutnya dihadiri oleh masyarakat kampung yang lebih berusia, saya turut hadirkan diri juga. Menyelit dalam kalangan mereka. Saya juga turut memberikan pandangan saya. Semua mata memandang saya. Ya, saya tahu saya belum cukup dewasa tetapi saya juga punya suara.

“Saya rasa mungkin wujud konspirasi di sebalik kemunculan jembalang-jembalang di perpustakaan kita ini.”

“Konspirasi? Kamu ni terlalu banyak membaca buku fiksyen fantasi di perpustakaan kita tu barangkali,” sambut seorang penduduk kampung berkumis lebat.

Pandangan saya menjadi bahan ketawa sekalian masyarakat kampung yang ada.

Seorang warga kampung yang lebih tua mengandaikan kemunculan jembalang di perpustakaan kami berkaitan dengan tapak perpustakaan itu sendiri yang sebenarnya merupakan tempat jembalang bertenggek sejak berzaman lagi.

“Mungkin jembalang-jembalang tersebut telah marah kerana ketika perpustakaan desa kita dibina, upacara meminta izin terlebih dahulu tidak dijalankan dan mereka merasakan tempat bertenggek mereka telah digangu oleh manusia.”

Saya hampir ketawa. Saya simpan dan pendamkan sahaja di dalam perut saya dengan harapan agar usus-usus saya tidak mengalami sebarang komplikasi yang serius. Saya tiada niat untuk mentertawakan pendapat orang lain, cuma terasa lucu. Itu sahaja.

Saya fikir kampung saya ini sememangnya penuh dengan malapetaka dan malapetaka yang paling besar apabila kebijaksanaan dibiarkan tersimpan sahaja di dalam kocek baju dan akhirnya terus lesap setelah baju dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Masyarakat kampung saya bersetuju untuk ke perpustakaan beramai-ramai pada malam keesokan harinya dengan membawa pelbagai sajian seperti ayam kampung dan pulut kuning. Alangkah terkejutnya kami setelah memasuki ke dalam perpustakaan apabila mendapati tiada senaskhah buku pun di dalam perpustakaan kami.

“Wahai anak muda, semalam kamu ada bercakap tentang konspirasi. Apa yang cuba kamu sampaikan sebenarnya?” soal seseorang.

“Saya rasa jembalang tidak suka membaca buku. Jadi saya fikir kemunculan jembalang itu hanyalah konspirasi pihak-pihak tetentu yang mahu melihat ketamadunan bangsa kita mundur. Pertama mereka menjarakkan kita untuk mendekati gedung ilmu dan kedua mereka mengaut khazanah ilmu yang ada di dalam perpustakaan ini.

“Usaha mereka berjaya dan kita yang ternganga!”

Leave a Reply

Your email address will not be published.