Categories
SELANGOR SENI

CERPEN: Porphyria, Drakula dan ketua kampung

Oleh Hafizul Osman

Kisah kambing dan lembu yang heboh berbulan-bulan hilang serta-merta. Kisah manusia dan teman rapat yang pergi entah ke mana juga lenyap.

Gempar menguasai kampung itu. Ke-tua kampung mereka sudah meninggal dinihari tadi.
Semua penduduk berpusu-pusu ke rumah ketua kampung mereka yang terletak di atas bukit. Satu-satunya rumah di kampung itu dibina di atas bukit.

Pihak perempuan datang untuk menenangkan balu ketua kampung, Faridah yang menangis teresak-esak sejak malam tadi. Pihak lelaki pula menguruskan hal-hal pengebumian.

Ketua kampung yang sudah memegang jawatan selama 20 tahun itu me-ninggalkan tiga orang anak, dua orang lelaki dan seorang wanita. Mereka sudah bekerja di ibu kota dan dalam perjalanan pulang untuk menziarahi orang tua mereka ini.

Ghani, seorang lelaki separuh abad yang bertindak sebagai tukang menguruskan jenazah akan memandikan jenazah. Namun, niatnya tergendala. Ada se-suatu yang membuatkan hatinya gusar. Dia memanggil Faridah yang masih lagi teresak-esak. Mereka berbincang di satu ruang yang agak jauh dari orang ramai.

“Ketua kampung ada penyakit apa-apa ke? Habis kulit badannya jadi pucat dan merah-merah. Ada perkara yang dia cuba sembunyikan?” tanya Ghani.

“Saya tak tahu, Ghani. Saya tak tahu apa penyakitnya. Sudah seminggu dia jadi begini. Keadaan dia jadi teruk dari hari ke hari. Saya nak bawa dia ke hospital tapi dia tegah. Saya tak tahu nak buat apa-apa. Hanya tunggu ajal dia saja,” jawab wanita itu sambil menyambung esakannya.

Ghani menghela nafas. Patutlah dalam seminggu ni dia tak pernah nampak ke-tua kampung di mana-mana. Sangkanya betul dia telah jatuh sakit. Tapi, hendak datang melawatnya tempoh hari pun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah pula. Faridah sendiri yang menegah.

“Kami tidak dapat mandikan jenazah, Faridah. Dengan keadaan macam tu, kami takut badan kami pula yang akan terkena penyakit tok ketua. Begini, saya akan panggil pihak hospital. Biar mereka uruskan jenazah sebab mereka mempunyai kelengkapan yang lebih baik.” cadang Ghani.

Asalnya wanita itu tidak bersetuju dengan cadangan itu. Namun, Ghani berusaha untuk memujuk dengan alasan mereka mungkin dapat mengetahui apa penyakit ketua mereka itu. Wanita itu pun setuju.

Sebuah ambulans sampai dan jenazah ketua kampung itu dibawa ke hospital pekan berhampiran. Semua penduduk yang mampir ke situ melihat saja jenazah itu dibawa pergi. Ghani dan Faridah mengekori dengan kereta lain.

Di hospital, jenazah ketua kampung dibuat bedah siasat.

Setelah menunggu dalam satu tempoh yang lama, seorang doktor lelaki berumur 50-an memanggil Faridah masuk ke dalam bilik. Ghani mengekori sama untuk membantu apa yang patut.

“Takziah dengan pemergian suami puan. Hasil laporan autopsi yang saya te-rima, berkemungkinan besar suami puan telah mengalami satu penyakit yang ganjil. Penyakit ini sangat jarang dialami oleh manusia dan ini pertama kali saya lihat sebagai seorang doktor walaupun saya mengetahui penyakit itu.”

“Apa penyakit sebenar suami saya, doktor? Sampai merah-merah kulit badan dia. Ada juga di sesetengah tempat badannya macam jadi pucat dan reput.” Faridah mahu menyelesaikan teka-teki yang bersarang dalam kepalanya.

“Jadi, maksudnya puan pun baru kali pertama melihat keadaan suami pun begitu?” tanya doktor itu pula.

Faridah mengangguk-angguk.

“Begini. Dalam istilah perubatan, Allahyarham menderita penyakit porphy-
ria. Kalau dalam bahasa mudahnya, suami puan mengalami penyakit kekurangan sel darah merah. Bukan penyakit leukemia kerana tiada pertambahan sel darah putih dalam badannya.

Penyakit ini akan menyebabkan pesakit kekurangan sel darah dalam tubuh badan dan menyebabkan oksigen tidak dapat diangkut ke seluruh badan. Sebab itu badan suami puan jadi pucat dan ada yang reput kerana kurang menerima oksigen dan sel darah merah.”

Faridah menutup mulut. Ghani memeluk tubuhnya sendiri sambil mengangguk tanda faham.

“Apa yang menghairankan saya, bagaimana suami puan dapat bertahan dengan tanpa menerima sebarang rawatan. Setakat ini saya yang tahu, memang tiada lagi rawatan khusus untuk menyembuhkan penyakit itu. Melainkan…”

Bicara doktor itu terhenti.

“Melainkan apa, doktor?” Kali ini, Ghani pula yang bertanya.

“Pesakit perlu minum darah segar yang diambil dari haiwan berdarah panas ataupun darah manusia sendiri.”

“Tak mungkin!” Ghani menafikan. Dia tidak percaya ketua kampungnya itu akan bertindak sebegitu. Seperti drakula sedangkan tugasnya sebagai ketua kampung begitu cemerlang.

Namun, dia juga tidak dapat menafikan dalam tempoh 20 tahun itu, kampung mereka tidaklah aman sangat dengan ramai penduduk yang kehilang-an haiwan ternakan mereka. Juga beberapa orang penduduk yang dia kenali hilang tanpa dikesan.

Sampai sekarang terus menjadi misteri dengan ketua kampung sendiri tampak bersahaja menangani isu itu. Isu seperti perebutan dan penyempadanan tanah serta isu-isu yang bekaitan hal-hal rumah tangga penduduk yang menjadi tumpuannya.

“Saya mohon maaf kerana telah menyinggung hati encik dan puan. Tetapi, saya mengesyorkan untuk membuat siasatan lanjut mengenai hal ini. Saya mencadangkan untuk meminta pihak polis menyiasat kes kematian ini dengan lebih lanjut. Terutama dari segi pemakanan suami puan. Ini untuk kebaikan keluarga puan dan penduduk kampung juga.”

Faridah memandang ke arah Ghani mengharapkan buah fikir. Lelaki itu pula mengetap bibir. Dia pun keliru untuk membuat keputusan.

Adakah ketua kampungnya itu telah menjadi drakula yang menghisap darah selama hayatnya?

Dia tidak pasti.

Faridah dan Ghani hanya mendiamkan sahaja isu itu. Mereka berdua tidak mahu perkara ini diheboh-hebohkan. Biarlah misteri ketua kampung itu menjadi misteri. Jadi, urusan jenazah ketua kampung dilakukan di hospital itu sebelum dibawa balik ke kampung untuk dikebumikan.

Selesai bacaan talkin, Ghani menunggu seorang demi seorang pengunjung meninggalkan tanah perkuburan. Dia memandang kosong ke arah kubur ketua kampung. Bayang-bayang ketua kampung kelihatan di hadapannya. Bersih dan ceria.

Leave a Reply

Your email address will not be published.