Categories
NASIONAL

KM cabar calon BN jawab isu kontrak Kerajaan Negeri

Oleh: NAZLI IBRAHIM

BUKIT MERTAJAM, 3 MEI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar calon BN PRK Permatang Pauh, Suhaimi Shabudin supaya menjawab soalan beliau berkenaan kontrak Kerajaan Pulau Pinang.

Guan Eng mahu Suhaimi memberikan penjelasan isu itu yang mendakwa sebelum ini golongan Bumiputera sukar mendapat kontrak daripada Kerajaan Pulau Pinang.

“Saya ulangi, pertanyaan yang halus kepada calon BN ini. Harap boleh jawab. Beliau sebagai seorang kontraktor Melayu, bolehkah dia cari makan dengan Kerajaan Negeri.

“Jangan bercakap pasal kontrak persekutuan tetapi saya cakap secara khusus kontrak Kerajaan Negeri.

“Jangan main-main sama saya. Mengapa takut jawab soalan Ketua Menteri?” kata Guan Eng pada sidang media di Wat Siam Kampung Tanah Liat di sini, hari ini.

Tegas Guan Eng, beliau bersedia menjawab kembali sekiranya Suhaimi masih mendakwa kononnya perniagaannya tidak boleh hidup melalui kontrak Kerajaan Negeri.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Guan Eng mengemukakan senarai nilai kontrak kerja-kerja yang dijalankan kontraktor Bumiputera kelas F.

Mengikut senarai yang dikeluarkan, jumlah kontrak dikeluarkan kepada kontraktor Bumiputera pada 2009, sebanyak RM11,650,087.75.

Jumlah itu terus meningkat kepada RM38,459,954.51 pada 2010, RM67,936,787.33 pada 2011 dan RM72,800,090.78 pada 2012.

Angka itu terus meningkat sehinggalah mencecah 91,441,621.16 yang membawa jumlah keseluruhan antara 2009 – 2014 sebanyak RM370,535,156.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.