Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Beli ketika anak kecil, masih tak siap sampai anak SPM

Oleh: AFIX RIDZUAN

SHAH ALAM, 8 MEI: Pembeli rumah projek terbengkalai kesal atas kegagalan pemaju menyiapkan kediaman hingga terbiar usang tanpa pembelaan sejak 1997.

Dikenali sebagai ‘Cikgu Teraniaya’, beliau berkata, projek Taman Lembah Beringin jenis Heart fasa dua itu patut siap pada 1999 dan boleh diduduki sekitar 2000 tetapi hampa.

Beliau sehingga kini terpaksa meneruskan bayaran bulanan berjumlah lebih RM400 melalui potongan gaji atas rumah yang dibeli pada harga sekitar RM99,000.

rumahProjek berkenaan mula terbengkalai selepas 50 peratus pembinaannya siap.

“Ia mula dibina sejak anak saya kecil dalam pantang sampailah dia ambil SPM.

“Saya ambil pinjaman kerajaan dan potongan gaji masih dibuat bagi bayaran berperingkat 50 peratus (siap) yang dibayar kepada pemaju.

“Dulu, bayar lebih RM600 sebulan tetapi dikurangkan sekitar RM400 lebih selepas dapat pelepasan faedah,” katanya yang mengajar di Kedah ketika projek itu mula terbengkalai.

Katanya, pertemuan dengan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dibuat sekitar 2002 tetapi tiada kata putus berikutan cuma dapat persetujuan 75 peratus pembeli untuk ia dipulihkan.

“Saya tertanya-tanya, adakah projek terbengkalai di Lembah Beringin termasuk salah satu senarai projek yang akan dipulihkan?

“Saya berharap tindakan mantap bagi membela nasib pembeli yang dizalimi pemaju tidak bertanggungjawab dapat diambil kerajaan baik persekutuan atau negeri,” katanya.

Selangor-Rumah-TerbengkalaiSeorang lagi pembeli mengakui tertipu berikutan pemaju projek menjualnya pada harga rendah sebelum pemilik sebenar menuntut haknya kembali.

Dikenali sebagai Nahar, beliau tidak menyangka banglo satu tingkat di Taman Desa Teratai, Teluk Gong, Pelabuhan Klang sebenarnya milik orang lain.

“Pada 2007, saya nampak pemaju naikkan papan tanda menunjukkan rumah tidak terjual.

“Kemudian, kami dibawa melawat wakil pemaju dengan keadaan rumah yang tidak sempurna. Tiada tingkap, tiada pagar dan siling roboh.

“Saya beli kerana harga dikurang dari RM160,000 kepada RM106,000 bersesuaian dengan keadaan rumah. Semuanya lancar selepas bayar deposit RM4,000.

“Rumah itu pinjaman penuh 100 peratus dan saya keluarkan simpanan KWSP RM40,000 untuk baik pulih bahagian rosak,” katanya.

Namun, katanya seorang individu muncul membawa perjanjian yang membuktikannya sebagai pemilik rumah sebenar pada 2009.

Beliau pernah membawa masalah itu kepada SPNB pada 2010 tetapi dimaklumkan pemaju itu tidak ada lesen.

Leave a Reply

Your email address will not be published.