Categories
SELANGOR

Pecat guru KAFA, Kerajaan Negeri tunggu penjelasan JAIS

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 MEI:  Kerajaan Negeri masih menanti penjelasan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung pemecatan guru sambilan Sekolah Rendah Agama Pekan Kapar, Ekhsan Bukharee Badrul Hisham.

Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, keputusan pemecatan itu dilakukan JAIS mengikut bidang kuasa jabatan berkenaan.

“Kita akan dapatkan maklumat dan penjelasan JAIS kerana buat masa ini hanya dimaklumkan surat sudah dikeluarkan sejak minggu lepas.

yunus“Jadi, kita kena lihat dan teliti dahulu sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan,” katanya kepada selepas sidang media Selangor Islamic Fest 2015 di Yayasan Restu, di sini, hari ini.

Bukharee dilaporkan menerima surat penamatan perkhidmatan berkenaan semalam selepas mengemukakan surat tunjuk sebab dan mengahdiri prosiding sebelum ini.

Mengulas lanjut, Yunus menjelaskan JAIS berhak mengemukakan surat berkenaan mengikut bidang kuasanya.

“Dia (Bukharee) juga berstatus sementara dan bukan kontrak. Bagaimanapun, dia boleh kemukakan rayuan mengikut saluran yang betul tetapi terpulang kepada Bukharee,” katanya.

Pada 8 April lalu, Bukharee dihalang memasuki Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi menuntut janji Kerajaan Negeri menaikkan elaun guru Kafa dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.