Categories
SELANGOR

Laman web Jabatan Mufti kurang menarik, hanya 300 pengunjung sehari

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 NOV : Laman sesawang Jabatan Mufti Selangor perlu dinaik taraf dengan melengkapkan fatwa terperinci berkenaan sesuatu isu.

Sallehen Mukhyi (PAS-Sabak) berkata, masyarakat perlu dilengkapi fatwa terbaru sebagai panduan sebelum sesuatu ‘wabak’ tersebar di negeri ini.

sallehin dun 02 jul 01“Sebelum sesuatu isu masuk, kita sepatutnya sudah memberi gambaran atau fatwa, contoh rokok elektronik vape yang sepatutnya diketahui hukumnya.

“Kita tidak mahu bila masyarakat Selangor sudah terlibat baru hendak keluar fatwa, Jabatan Mufti perlu bekerjasama dengan tenaga pakar untuk pantau perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Pembangunan di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Pada masa sama, Sallehen turut mencadangkan supaya soal jawab berkenaan ibadah diklasifikasikan secara teratur bagi memudahkan masyarakat mendapat maklumat.

Beliau juga menegur penampilan kurang menarik laman sesawang itu dalam memaparkan isu hingga ia hanya dilawati kira-kira 300 pengunjung sehari.

WEB MUFTI“Jabatan Mufti perlu mempunyai pakar untuk mengendali setiap kolum terutama dalam soal jawab supaya ia boleh menjadi rujukan pengunjung.

“Saya juga berharap penambahbaikan akan mampu menarik sekurang-kurangnya dua peratus daripada masyarakat Islam di Selangor untuk mengunjungi laman sesawang itu,” katanya.

Menjawab cadangan itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Dr Yunus Hairi, berkata Jabatan Mufti Selangor berusaha memperkasa informasi melalui program turun padang.

Beliau berkata, risalah berkenaan isu penting seperti fatwa dan ajaran sesat turut giat diedarkan kepada masyarakat dan menerima respon positif.

“Secara umum masyarakat hari ini perlu mendapat penjelasan lebih lanjut berkenaan sesuatu itu dan antara usaha kita adalah turun berjumpa masyarakat melibatkan semua agensi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Surau reka bentuk baru bakal dilengkapi penghawa dingin

Oleh: NAZLI IBRAHIM

BANTING, 27 SEP: Projek pembangunan surau dengan reka bentuk baru di Selangor akan turut mengambil kira keperluan semasa, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Beliau berkata, antaranya termasuk sistem penghawa dingin untuk disesuaikan dengan keadaan negara yang mempunyai cuaca panas hampir sepanjang tahun.

yunus“Saya berbincang dengan arkitek dan kita mengambil kira semua aspek. Memang kebanyakan surau dilengkapi penghawa dingin untuk disesuaikan dengan keadaan negara kita yang panas.

“Bagaimanapun, keperluan hawa dingin ini perlu sejajar dengan keperluan semasa. Adakala, masjid atau surau besar memerlukan keperluan penghawa dingin yang banyak tetapi jemaah yang ada tidak seramai hari Jumaat jugahari lain yang ada majlis.

“Ini juga kita fikirkan,” katanya kepada Selangor Kini pada Program Sijangkang Fun Run 1st Edition di Kampung Sawah, Sijangkang, di sini, hari ini.

masjid01Dr Ahmad Yunus berkata, Kerajaan Negeri juga mendapati terdapat beberapa surau di Selangor yang berada dalam keadaan uzur dan tidak mampu menampung pertambahan jemaah, sekali gus membahayakan jemaah yang menggunakannya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam satu majlis di Kampung Melayu Ampang, berkata Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah dana dalam Belanjawan 2016 bagi membiayai pembinaan surau baru di seluruh Selangor.

Katanya, surau baru itu nanti bukan sahaja memiliki ciri keselamatan, bahkan diberi satu reka bentuk baru yang standard di seluruh negeri.

-NFN-

Categories
SELANGOR

3K erat kerjasama masyarakat untuk kesejahteraan kampung

Oleh: HAFIZAN TAIB

SUNGAI BULOH, 11 SEP: Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) menitikberatkan semangat kerjasama masyarakat ke arah menjaga kesejahteraan dan keselamatan kampung.

Exco Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program terbabit memberi kesedaran kepada masyarakat akan tanggungjawab bersama selain berkongsi maklumat berhubung Kerajaan Negeri.

FLYERS F 3K PETALING“Program ini menjadikan masjid sebagai lokasi membabitkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dengan orang ramai didedahkan pelbagai program termasuk penjagaan alam sekitar, kebersihan dan keselamatan kampung.

“Ia adalah tanggungjawab bersama dan bukan setakat di bawah jabatan atau agensi tertentu,” katanya, di sini, semalam.

Program 3K di Kampung Kubu Gajah dalam DUN Paya Jaras, di sini adalah yang kelima dan membabitkan semua daerah di Selangor.

Ia membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan dalam menyampaikan maklumat secara langsung termasuk program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Ahmad Yunus, berkata program dua hari itu bermula dengan sesi perjumpaan bersama Pejabat Agama Islam Daerah diikuti tazkirah Jumaat dan terselit maklumat yang perlu disampaikan kepada masyarakat berkenaan akidah, ajaran sesat dan maqasid syariah.

“Program diteruskan keesokannya seperti sembang santai, sesi bersama masyarakat dan program motivasi. Saya kira ia memberi manfaat berguna kepada orang ramai,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Waqaf mampu biayai pelajar kurang mampu

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 29 MEI: Sistem waqaf pendidikan mampu meringankan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan meneruskan pengajian mereka, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

“Apabila sistem waqaf sampai ke satu peringkat, kita dapat bantu membiayai pelajar yang kurang mampu tetapi tidak bermakna semuanya percuma.

IMG_1019[1]“Siapa yang mampu, mereka boleh beri sumbangan. Yuran minima boleh dikenakan kepada pelajar hasil daripada kutipan waqaf ini,” katanya selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa Waqaf Tunai 2015 di Hotel Empress, di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Ahmad Yunus mengucapkan tahniah kepada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) di atas kejayaan melancarkan waqaf tunai pembangunan..

Katanya, Kuis membuktikan kesungguhan menyambut seruan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya membangunkan sistem waqaf dalam bidang pendidikan.

Sistem waqaf yang dibangunkan itu mendapat kerjasama Perbadanan Waqaf Selangor (PWS) dan bakal menjadi model kepada institusi pendidikan lain.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pecat guru KAFA, Kerajaan Negeri tunggu penjelasan JAIS

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 MEI:  Kerajaan Negeri masih menanti penjelasan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung pemecatan guru sambilan Sekolah Rendah Agama Pekan Kapar, Ekhsan Bukharee Badrul Hisham.

Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, keputusan pemecatan itu dilakukan JAIS mengikut bidang kuasa jabatan berkenaan.

“Kita akan dapatkan maklumat dan penjelasan JAIS kerana buat masa ini hanya dimaklumkan surat sudah dikeluarkan sejak minggu lepas.

yunus“Jadi, kita kena lihat dan teliti dahulu sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan,” katanya kepada selepas sidang media Selangor Islamic Fest 2015 di Yayasan Restu, di sini, hari ini.

Bukharee dilaporkan menerima surat penamatan perkhidmatan berkenaan semalam selepas mengemukakan surat tunjuk sebab dan mengahdiri prosiding sebelum ini.

Mengulas lanjut, Yunus menjelaskan JAIS berhak mengemukakan surat berkenaan mengikut bidang kuasanya.

“Dia (Bukharee) juga berstatus sementara dan bukan kontrak. Bagaimanapun, dia boleh kemukakan rayuan mengikut saluran yang betul tetapi terpulang kepada Bukharee,” katanya.

Pada 8 April lalu, Bukharee dihalang memasuki Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi menuntut janji Kerajaan Negeri menaikkan elaun guru Kafa dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.

-NFN-