Categories
SELANGOR

Piala Adun Bukit Gasing tawar hadiah RM4,000, peluang main peringkat tinggi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 27 MEI: Pasukan bola sepak bawah 12 dan 18 tahun dipelawa menyertai pertandingan bola sepak Piala Adun Bukit Gasing yang diadakan pada Julai dan September.

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, pertandingan itu menawarkan hadiah RM4,000 terbuka kepada mana-mana pasukan seluruh negara.

yb raviz bola 1“Ini kali ketiga diadakan. Bagi kategori bawah 18 pertandingan diadakan pada 25 dan 26 Julai dan bagi bawah 12 tahun pula pada 5 dan 6 September nanti. Semua perlawanan berlangsung di Padang Bola Sepak Astaka, Petaling Jaya.

“Pertandingan ini terbuka, menggunakan format sembilan sebelah dengan syarat warganegara Malaysia dan juara kejohanan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan piala.

“Selain itu kami juga menjemput jurulatih pasukan peringkat negeri untuk menilai bakat pemain yang mereka boleh ketengahkan,” kata Rajiv dalam sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Adun Bukit Gasing di sini, hari ini.

Tambah Rajiv, naib juara bakal memenangi hadiah wang tunai RM1,000 dan manakala RM500 untuk tempat ketiga dan keempat.

“Lain-lain pasukan jangan kecewa sebab mereka juga dapat hadiah berupa medal dan boleh mencuba nasib pada masa akan datang,” kata Rajiv lagi.

Selain itu, pertandingan yang dianjurkan organisasi bukan kerajaan (NGO) Athma Jothi Samaya Sevai Sangam (AJSSS) itu turut menawarkan hadiah bagi kategori pemain cemerlang, penjaga gol cemerlang, jurulatih cemerlang, ketua pasukan cemerlang dan pasukan cemerlang.

Presiden AJSSS, Eswaran Muniandy pula berkata, pertandingan itu diadakan sebagai galakan kepada golongan remaja menceburi aktiviti berfaedah.

“Selain mencungkil bakat baru, ini juga galakan kepada anak muda menjauhi aktiviti tidak sihat,” kata beliau.

Pasukan yang berminat boleh menghubungi Eswaran di talian 016-966 8699, Sivam (016-216 3847) dan Raymond (016-255 2700).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.