Categories
SELANGOR

Rumah kebajikan terharu terima sumbangan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 MEI : Tiada apa lebih menggembirakan buat Rumah Amal Baitul Fitrah (Baitul Kasih) Rawang apabila menerima sumbangan dana bagi keperluan asas anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Pengasasnya, Masliza Abu Bakar, berkata beliau begitu berterima kasih atas sumbangan diberikan, apatah lagi ia sememangnya diperlukan untuk kebajikan penghuni rumah kebajikan itu.

Katanya sehingga kini seramai 27 anak yatim dan ibu tunggal menghuni di situ dan beroperasi sendiri termasuk melalui sumbangan orang ramai.

Masliza“Alhamdulillah syukur atas sumbangan diberikan untuk keperluan anak-anak di Baitul Kasih yang terdiri dari pelbagai peringkat umur.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat melancarkan operasi rumah kebajikan dan anak-anak yang memerlukan perhatian,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Fasa Pertama oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, hari ini.

Rumah Amal Baitul Kasih itu antara 49 pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO-i) yang menerima bantuan kewangan berjumlah RM960,000.

Ia bertujuan memperkasa gerakan dakwah pertubuhan dan rumah kebajikan di Selangor melalui pelbagai aktiviti dan program yang akan dijalankan dari masa ke masa.

Sumbangan menggunakan dana asnaf Al-Riqab, Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu diserahkan Pengerusi Penyelarasan NGO-i MAIS, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Semua rumah dan pertubuhan dakwah ini menerima bantuan antara RM10,000 sehingga RM30,000 bergantung kepada aktiviti dakwah yang dijalankan.

Seorang lagi penerima, Mohd Fauzi Mohd Yatim yang mewakili Badan Dakwah Daerah Hulu Langat turut berterima kasih kepada Mais dan LZS atas sumbangan dihulurkan.

FauziKatanya badan dakwah berkenaan berusaha memanfaatkan sumbangan dana itu sebaik-baiknya untuk memastikan segala aktiviti dilaksanakan berjalan lancar.

“Syukur dengan adanya sumbangan ini kita dapat memastikan operasi badan dakwah lebih lancar lebih-lebih lagi apabila kita banyak berurusan dengan surau dan masjid,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.