Categories
NASIONAL

PKR: Bagaimana 1MDB mahu selesai hutang RM3.6 bilion?

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 MEI : PKR menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tampil menjelaskan bagaimana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh menjelaskan pinjaman enam bank antarabangsa selepas melanggar syarat.

Susulan pendedahan akhbar perniagaan, Business Times Singapura hari ini melaporkan, enam bank diketuai Deutsche Bank kini dalam usaha memaksa 1MDB menyelesaikan hutang AS$975 juta (RM3.52 bilion) empat bulan sebelum tarikh akhir penyelesaiannya.

RafiziSetiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata pendedahan terbaru itu juga mengesahkan dakwaannya semalam mengatakan hutang RM3.6 bilion itu diambil dengan memberi cagaran.

“Laporan akhbar Business Times pada hari ini mengesahkan pendedahan saya semalam hutang RM3.6 bilion ini diambil dengan memberi cagaran simpanan dana AS$1.1 bilion yang kononnya disimpan oleh 1MDB di Bank BSI di Singapura.

“Oleh kerana laporan terkini menyebut dana AS$1.1 bilion ini mungkin tidak wujud, ia mewujudkan keadaan panik di kalangan 6 bank antarabangsa tersebut yang bimbang 1MDB tidak boleh membayar hutang RM3.6 bilion itu,” katanya dalam kenyataan media.

Rafizi mendakwa, sekiranya 1MDB gagal menjelaskan tuntutan hutang daripada enam bank itu, ia bermakna syarikat terbabit juga gagal memenuhi tuntutan bayaran bagi semua RM42 bilion hutang dimilikinya.

“Ini bermakna, jika tuntutan bayaran hutang RM3.6 bilion oleh enam bank antarabangsa ini gagal dipenuhi dalam masa terdekat, 1MDB secara undang-undangnya gagal memenuhi tuntutan bayaran bagi kesemua RM42 bilion hutangnya,” katanya.

Malah, lebih parah lagi, situasi itu akan menggugat kestabilan kewangan negara.

“Oleh itu, ramalan awal saya bahawa satu hari nanti hutang-hutang 1MDB ini membawa risiko besar kepada kestabilan kewangan negara kini mungkin menjadi kenyataan.

“Ini menafikan jaminan yang dibuat oleh pimpinan Barisan Nasional termasuk Khairy Jamaluddin yang kononnya 1MDB bukan risiko kepada kestabilan kewangan negara,” katanya.

Business Times hari ini melaporkan enam bank itu mula risau ekoran dokumen cagaran Brazen Sky didakwa “tidak lengkap” kerana tidak memenuhi syaratnya, dan ini membolehkan konsortium bank tersebut menuntut hutang lebih awal sebelum akhir Ogos.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.