Categories
SELANGOR

Selangor diramal capai 10% lebihan sasaran kutipan hasil 2015

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 MEI: Kerajaan Selangor diunjurkan berjaya memperolehi lebihan kutipan hasil sebanyak 10 peratus berbanding RM1.97 bilion yang disasarkan tahun ini.

Hal ini berikutan walaupun suku tahun kedua belum berakhir, kutipan hasil diperolehi Kerajaan Negeri setakat ini sudah mencecah RM1.1 bilion atau 52 peratus.

Selangor majuPegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Noordin Sulaiman berkata, beliau menjangkakan Kerajaan Negeri memperolehi kutipan hasil lebih tinggi sebelum berakhir suku tahun kedua sebaik menjelang tarikh akhir bayaran cukai tanah pada 31 Mei nanti.

“Bergantung juga kepada bayaran premium tukar syarat tanah yang dimohon pemilik tanah sebab 31 Mei tempoh akhir dan selepas itu bertukar menjadi tunggakan apabila kita berusaha kutip apa menjadi tanggungjawab pemilik tanah menjelaskan cukai tanah dan premium tanah.

“Ini bermakna kita boleh dapat lebih lagi dan walaupun baru dalam suku tahun kedua, kutipan hasil akan terus dapat ditingkatkan. Kalau dibandingkan pada bulan sama tahun lepas kita belum dapat angka seperti ini lagi,” kata Noordin ketika dihubungi Selangor Kini di sini.

Beliau berkata berdasarakan pengiraan, ‘run’ atau graf yang berlaku tahun lepas dan tahun sebelumnya, kebiasaannya Kerajaan Negeri memperolehi 10 peratus lebih sasaran seperti termaktub dalam anggaran belanjawan tahunan itu.

“Insha-Allah tahun ini juga begitu. RM1.97 bilion akan dicapai lebih awal iaitu sebelum hujung tahun dengan anggaran lebih 10 peratus,” katanya.

Jelas Noordin lagi, dasar Kerajaan Negeri menggalakkan pembangunan, pemantauan kutipan berterusan dan sokongan kepada komuniti peniaga merupakan kunci utama kepada kejayaan.

“Sebab kita ada jawatankuasa pemantauan penyelarasan kutipan cukai dan hasil negeri dengan di peringkat saya memang kita pantau berterusan dan setiap dua atau tiga bulan.

“Kita bermesyuarat bersama pegawai Pejabat Tanah untuk kenal pasti masalah dan juga tindakan yang boleh diambil terhadap tunggakan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata dasar negeri yang jelas menggalakkan pembangunan turut menyumbang peningkatan hasil.

“Pembangunan hartanah menjadi kunci utama kepada salah satu sumbangan hasil negeri iaitu premium tukar syarat tanah,” kata Noordin lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.