Categories
SELANGOR

Setiap DUN terima RM600,000 untuk pembangunan sukan

Oleh : AFEEQA AFEERA

BATU CAVES, 2 MEI : Setiap Pusat Khidmat DUN di negeri ini menerima peruntukan antara RM600,000 hingga RM700,000 bagi pembangunan sukan di Selangor.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata daripada peruntukan itu sebanyak RM30,000 perlu dikhaskan untuk Liga Sukan Selangor (PLUS).

Amirudin “Kita minta mereka siapkan RM30,000 untuk satu-satu pertandingan dengan setiap DUN anjurkan kejohanan PLUS ini.

“Manakala pertandingan di peringkat negeri ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri,” katanya pada Majlis Perasmian Bola Jaring Selangor PLUS peringkat DUN Batu Caves, dekat sini hari ini.

Mengulas mengenai kejohanan PLUS, katanya hanya tiga sukan menjadi tumpuan setakat ini iaitu bola jaring, bola keranjang dan futsal.

Manakala sukan lain katanya dilaksanakan pada masa depan berdasarkan kesesuaian masa dan peruntukan di DUN.

“Kita mahu kejohanan sukan ini mewujudkan elemen perpaduan di kalangan masyarakat melalui penyertaan setiap DUN.

“Kita juga bercadang menganjurkan kejohanan ini pada setiap bulan Mei selaras dengan hasrat menjadikan ia sebagai bulan sukan di negeri Selangor,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.