Categories
SENI

CERPEN: Balada seorang gelandangan

oleh AN NASAIE
Malam itu di kota raya, hujan masih renyai menyinggah di kaki lima itu. Kadang bias percikan air mengena di hujung kakinya yang kotor itu. Adi menanggalkan kasutnya dan diletaknya di sebelahnya. Kakinya yang kurus itu dibiar belunjur lurus.
Bukan pertama kali dia bermalam di kaki lima itu, malah sudah berbulan-bulan, kaki lima itu menjadi kamar tidurnya dengan hanya beralaskan kotak berwarna coklat sebagai ranjang. Sudah banyak kaki lima disinggahnya.Sebelum ini, bawah jambatan berhampiran sungai di ibu kota menjadi tempat peraduannya tetapi telah diambil oleh pasangan kelamin bersama dua orang anak yang juga ingin bermalam disitu.Adi biarkan saja. Mereka lebih memerlukkan.Hujan yang tadi renyai mula melebat.

Pandangan Adi kaku pada deraian hujan yang rancak berdansa di lantaian aspal jalan dan di sebaliknya rancaknya si hujan itu, di seberang bangunan sana, Pakcik Din sudahpun selamat melayari alam mimpi. “Mimpi indah-indah pakcik” bisik adi. Pakcik Din pengemis tua berkopiah yang tidak pasti bila kali terakhir dia membasuh dirinya.

Selalu saja, Adi memberi sebahagian makan-annya kepada Pakcik Din. Kisah Pakcik Din terlalu panjang untuk diceritakan, cukuplah mengetahui dia sebatang kara dan sudah hampir 30 tahun menjadi gelandangan di kota raya.Pandangan Adi mati. Pandangannya mula bermain dengan memori-memorinya. Nasibnya kurang lebih seperti Pakcik Din. Cuma dia tidak sebatang kara. Dia punya kakak kandung yang dia sangat kasihi. Lia panggilannya. Tapi Lia menjadi pelacur di kota raya. Hidup ini memang menyakitkan dan bukan tercipta untuk kita, kata Lia pada malam mereka menghuni di bawah jambatan. Lia yang dulunya berwajah manis tapi kotor kita sudah berdendang cantik.
Dia telah memilih dunianya. Dunia pelacuran. Si lahanat Edy telah menariknya dari neraka kemiskinan dan memasuknya kedalam jahanam pelacuran. Adi kalah dalam mempertahankan kakaknya itu. Itu pilihan kakaknya. Ada kala, Lia datang menemuinya dan memberinya ia sedikit wang hasil dari aktivitinya tapi ditolaknya.”Aku tak nak duit akak, Aku nak Akak”Hujan semakin melebat. kaki lima semakin dibasahi bias hujan. Kesejukan. Dalam pelukan kesejukan itu, di dadanya ada bersama sebuah buku. Kulitnya berwarna ungu gelap. Adi memeluk erat buku itu. Kulit buku itu tersusun huruf-huruf dan membentuk dua patah kata. Falsafah Hidup dan di bawahnya tertulis ‘Hamka’. Tapi Adi tidak pernah mengetahuinya.
Adi buta huruf. setiap hari akan dibawanya buku itu ke mana-mana dan dibeleknya sambil matanya penuh minat pada susunan patah kata yang terkandung  dalam buku itu. Ingin memahami tapi tidak mampu.Lahir dan ditinggalkan bersama Lia bukanlah pilihan mereka. Setunas empat tahun Adi dan kakaknya telah ditinggalkan. Adi masih ingat pada hari ibunya meninggalkannya, matanya tertancap pada dua buah bangunan seperti jagung dan ditengahnya ada jambatan yang menyambung di antara kedunya.Adi mula baring di kotak yang dikutipnya di sebuah kedai serbaneka 24 jam. Nasib bias hujan tidak mengenanya. Pandanganya mula meraba siling kaki lima itu. Jaluran aluminium kelabu gelap, mengingatkanya pada siling masjid kala dia baring untuk tidur di masjid itu. Cantik silingnya terhias bersama ukiran-ukiran adaptasi morish bersama-sama susunan kaligrafi tulisan Arab yang tidak difahami Adi.
Cuma Adi berfikir, kenapa tulisan-tulisan ini ditulis pada siling dan ditulis tinggi dari aras mata manusia. “Apa mereka yang masuk ke sini perlu baring untuk membaca tulisan-tulisan yang cantik ini?” tafsir Adi. Adi keliru. Keliru Adi tidak lama sebelum diusir oleh mereka yang memakai kopiah putih. Malah diherdiknya Adi. Kotor katanya.Adi sebenarnya suka berada di masjid itu. Nyaman dan menenangkan sambil dilihatnya beberapa orang masuk dan mula bersolat. Adi tidak mengerti apa yang mereka lakukan dan cuba sampaikan tapi kelihatan mereka seolah taat pada sesuatu. Adi tidak mengerti. Tidak pernah pula dia melakukan aktiviti pelik itu.Adi tidak pernah mengerti.Semenjak diusir, Adi tidak lagi masuk ke masjid. Baginya itu bukanlah tempatnya. Dia merasakan dia tidak layak masuk kedalam bangunan yang cantik itu. Dia terlalu kotor.
Falsafah Hidup masih dalam pelukkan Adi. Buku ini dijumpai di sebuah stesen bas sentral di ibu kota. Tidak tahu siapa pemiliknya, Adi memutuskan untuk menyimpannya. Ingin dibaca tapi tidak dimegertinya. Ingin dia belajar membaca.

Setiap pagi, Adi akan bangun dan bergegas ke sebuah sekolah berhampiran tempat tidurnya. Beradanya didepan sekolah sambil pandangannya mengekori pelajar-pelajar lelaki dan perempuan masuk ke dalam pagar sekolah. Adi tahu itu sekolah, tempat belajar dan meraih ilmu. Ingin masuk, tapi Adi tidak punya uniform seperti mereka. Adi tahu apa itu pendidikan.

Cuma tidak dimegertinya. Adi kurang jelas mengapa pendidikan itu hanya wujud di dalam pagar sekolah. Mengapa tidak di luar sekolah? Dia manusia jalanan mahu juga merasa apa itu pendidikan. Pakcik Din juga mahu merasa. Pendidikan seolah mitos dijalanan.“Nasib terbaik kamu adalah merasa apa itu pendidikan dan aku hanya mendengar mitos pendidikan di hujung kata-kata mereka yang bergelar cerdik pandai…”Pisau kesejukan semakin menghiris kulit dan isinya. Adi terus memeluk buku Hamka itu. Adi mula menutup mata dan memasang niat untuk tunggu di depan sekolah seperti biasa. Selamat malam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.