Categories
KENYATAAN MEDIA

Bantuan 350 usahawan Perangsang Selangor diiktiraf CSR Peringkat Asia

Keberkesanan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang diperkenalkan oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) sekali lagi telah membuahkan hasil apabila tersenarai bersama 22 syarikat korporat dari negara-negara rantau Asia sebagai penerima Anugerah Pemerkasaan Sosial (Social Empowerment) Terbaik Asia baru-baru ini.

Pengiktirafan terhadap syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia itu diterima pada Asia Responsible Entrepreneurship Awards 2015 yang dianjurkan sempena CSR International Summit 2015 di Macau pada 19 Jun 2015 lalu setelah terpilih pada penilaian pusingan akhir.

Asia Responsible Entrepreneurship Awards adalah anugerah yang mengiktiraf badan-badan korporat yang memperjuangkan usaha-usaha CSR dalam menjaga kebajikan sosial masyarakat setempat.

YB Dato' Kamarul Baharin Abbas (tengah), Pengerusi Jawatankuasa Lembaga CSR bersama Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Perangsang SelangorPenganjur sidang kemuncak tersebut telah menerima penyertaan daripada 300 syarikat korporat dari 32 negara Asia, di mana 58 syarikat berasal dari 9 negara iaitu Bangladesh, India, Thailand, Sri Lanka, Jepun, Filipina, Hong Kong, Indonesia dan Malaysia telah menerima pelbagai kategori anugerah pada tahun ini.

Perangsang Selangor melaksanakan CSR menerusi Program Pembangunan Usahawan Selangor (PPUS) di bawah peruntukan dana sebanyak RM1.2 juta. Sehingga kini seramai 350 usahawan termasuk di Lembah Klang dan seluruh Selangor telah berjaya memulakan perniagaan di bawah program rangsangan berkenaan.

Selain itu, Perangsang Selangor membelanjakan dana bernilai RM3.5 juta bagi menjayakan program Rangsangan Sukan Selangor iaitu program pembangunan sukan untuk pelajar-pelajar sekolah dalam Selangor yang merangkumi sukan boling, renang, bola sepak, basikal, badminton dan squash serta Rangsangan Tanggungjawab Masyarakat Selangor meliputi program keagamaan, derma dan sumbangan, pengurusan acara dan juga program kerjasama strategik bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Trofi & SijilAnugerah pada Asia Responsible Entrepreneurship Award 2015 terbahagi kepada enam (6) kategori termasuklah “Social Empowerment”, Investment in People”, Health Promotion”, Green Leadership”, “SME CSR”, “Responsible Business Leadership” berdasarkan 4 teras yang menjadi kriteria utama pemilihan iaitu alam sekitar, amanah, masyarakat setempat dan pekerja–pekerja dalam organisasi itu sendiri.

Organisasi yang bertanding perlu melalui beberapa proses pemilihan iaitu, Proses Pencalonan, Pemilihan, Audit, Kedudukan, Penilaian Peringkat Akhir, Pengumuman Pemenang seterusnya Penyampaian Anugerah.

Anugerah ini merupakan kali ke-2 Perangsang Selangor memenangi anugerah Asia Responsible Entrepreneurship Awards di mana dua tahun lalu iaitu pada tahun 2013, Perangsang Selangor telah memenangi kategori sama di peringkat Asia Tenggara dalam penyampaian anugerah yang telah berlangsung di Singapura.

Antara penilaian oleh Asia Responsible Entrepreneurship Award 2015 termasuklah usaha untuk membantu mereka yang memerlukan dana untuk perniagaan. Salah satu penerima di bawah skim berkenaan ialah seorang ibu tunggal yang berjaya untuk berdikari apabila membuka perniagaan spa bergerak.

Menurut Nor Faezah Mohd Yatim, 39 tahun, perusahaan spa bergerak itu dijalankan beberapa bulan lalu benar-benar merubah kehidupan beliau yang nekad bersara awal daripada kerjaya dalam bidang Pentadbiran Sumber Manusia di salah sebuah syarikat minyak dan gas di Kuala Lumpur selepas kematian suami tercinta beberapa tahun lalu.
CSRIbu kepada 5 cahaya mata ini telah menerima bantuan modal peralatan set spa bergerak daripada Perangsang Selangor selepas memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Tiga dan beberapa sijil kemahiran lain dalam bidang spa terapi dari beberapa agensi penyedia latihan luar. “Saya sangat bersyukur dengan rezeki yang saya perolehi sekarang.

Berbeza dengan sebelum bergelar usahawan, pendapatan bulanan saya sekarang mampu mencecah sehingga RM2,000 sebulan, cukup untuk saya menanggung perbelanjaan sekolah anak-anak,” jelas Faezah.

Program sebegini dilihat mampu menyuntik semangat rakyat Selangor memulakan langkah menjana pendapatan sendiri dengan bimbingan agensi-agensi berpengalaman di bawah Perangsang Selangor.

Hasilnya, lebih separuh daripada peserta kursus telah mampu menjana pendapatan sendiri dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Hasrat Perangsang Selangor adalah untuk memastikan setiap usahawan yang lahir daripada program sebegini mempunyai daya tahan yang tinggi dalam menghadapi dunia keusahawanan yang semakin mencabar.

Usaha yang dilaksanakan oleh Perangsang Selangor adalah sejajar dengan visi menyokong Agenda Makmur Selangor. Perangsang Selangor telah mewujudkan Program Pembangunan Usahawan Selangor (PPUS) di bawah inisiatif Rangsangan Usahawan Selangor (RUS) sebagai salah satu program CSR bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat Selangor yang mempunyai impian menjadi usahawan tetapi tidak mempunyai keyakinan berikutan kurangnya kemahiran dan sumber modal.

Selain itu, matlamat PPUS adalah untuk menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah penduduk Selangor dan membantu belia-belia tempatan menjana pendapatan mereka. Dilancarkan pada tahun 2012, PPUS telah banyak membantu melahirkan usahawan-usahawan kecil berdaya saing dalam pelbagai industri di seluruh Selangor.

Program Pembangunan Usahawan terbahagi kepada dua fasa iaitu program latihan keusahawanan yang sebelum ini dikenali sebagai Program Rangsangan Kerjaya Siswazah Selangor 2012 atau RKSS.

Pada tahun 2014, Perangsang Selangor meluaskan skop bantuan kepada sejumlah 350 belia, graduan, penganggur, ibu tunggal, pesara dan Orang Kelainan Upaya (OKU) berumur 18 tahun ke atas dengan penjenamaan semula program kepada Program Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) yang telah menelan belanja sebanyak RM2.2 juta.

Kursus-kursus yang ditawarkan adalah daripada bidang-bidang yang mempunyai permintaan tinggi seperti Penternakan, Percetakan Segera, Pemasaran Atas Talian (internet), Penyelenggaraan Penghawa Dingin, Perusahaan Makanan Ringan (Cendol dan Laksa), Penyelenggaraan Motosikal, Kontraktor Binaan, Jahitan Pakaian, Pembuatan Kek, Mutawif dan Pendidikan Awal kanak-Kanak.

Peserta-peserta yang telah terpilih diberi latihan kemahiran menerusi agensi-agensi penyedia latihan dalam tempoh tertentu bergantung kepada bidang kursus. Dalam memastikan keberkesanan program, proses pemantauan dan penyeliaan telah dilakukan oleh penyedia latihan bagi mengenal pasti potensi dan juga jenis bantuan yang diperlukan oleh peserta latihan bagi mereka memulakan perniagaan dalam program fasa kedua.

Bantuan-bantuan modal awal yang telah dilaksanakan adalah penyerahan keperluan peralatan seperti haiwan ternakan kepada usahawan ternakan, peralatan percetakan kepada usahawan percetakan, peralatan pembuatan kek kepada usahawan pembuatan kek, mesin jahit kepada usahawan jahitan pakaian, peralatan membuka gerai cendol dan laksa, set permulaan spa bergerak.

Motosikal beroda tiga untuk bakal usahawan OKU dan peralatan membuka kios statik untuk bakal usahawan menjual pau serat, modal awal kepada bakal usahawan Pusat Pembelajaran Al-Quran teknik Al-Baghdadi, dan bantuan promosi dan karnival untuk usahawan-usahawan di bawah Perangsang Selangor dan Hijrah.

Pemberian bantuan modal awal kepada bekas peserta latihan RKRS yang terpilih bertujuan untuk memberi sokongan kepada mereka bagi memulakan perniagaan berbekalkan ilmu keusahawanan yang telah diperolehi.

Bantuan ini juga turut dibuka kepada usahawan yang telah memiliki sijil kemahiran asas keusahawanan dan memerlukan sokongan modal untuk memulakan perniagaan dan juga usahawan sedia ada yang memerlukan sokongan tambahan untuk mereka terus berdaya maju dalam perniagaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.