Categories
SENI

Battle of The Busker: Dari jalanan ke pentas pertandingan

Oleh NAEEM RAFFI

Busker atau pemuzik jalanan tidak lagi tersisih.

Bakat mereka mendapat perhatian PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang mengangkat mereka ke pentas melalui pertandingan.

Pertandingan pada 1 Mei yang dianjur sempena Minggu Fesyen Regalia 2015 itu mengingatkan ramai kepada Battle of Rock yang popular pada era rock kapak sekitar 80-an.

IMG_5622

Kreativiti lebih 20 kumpulan buskers itu dilaga secara sihat. Pelbagai ragam, aksi gila-gila dan suara lunak dari pelbagai genre dipersembah kepada ramai.

Penganjuran di SACC Mall milik PREC di tengah bandar raya Shah Alam, sejajar dengan pembangunan Kota Seni yang bertujuan memartabat kelompok seni.

“Landasan bagus sebagai pengiktirafan kepada buskers. Bersaing sihat di pentas, memberi pengalaman dan mematangkan kami untuk beraksi lebih baik,” kata Kamarul Arif.

IMG_5958Begitu pandangan vokalis Sara-Sara Akustika Sara-Sara Akustika yang muncul johan Battle of Buskers Regalia 2015.

Kumpulan buskers dari Shah Alam itu menga-bungkan lagu Cek Mek Molek (M.Daud Kilau), Kocok-kocok (Inul Daratista) dan Zaman (SM Salim).

Mereka diadili Andi Flop Poppy, gitaris Nitrous Syed Hood dan pensyarah muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Aznul Haidi.

Kamarul percaya kesediaan syarikat bukan kerajaan (GLC) membuka ruang beraksi di pentas berprestij membantu memartabat busker.

“Lihat Caliph Buskers, penghibur jalanan orang kelainan upaya (OKU) yang mendapat kepercayaan tinggi komposer terkenal, Edry Abd Halim.

“Siapa sangka buskers boleh beraksi bersama kumpulan Mojo di Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29),” katanya.

Pandangan sama dikongsi Pengurus D’Sutera Buskers, Alif Asyraf yang mahu menukar imej busker yang kerap dipandang segelintir masyarakat sebagai lekeh.

Pun begitu, katanya, busker memerlukan pengurusan baik supaya setanding artis terkenal tanah air.

“Rata-rata busker hebat main muzik tetapi lemah dari segi pengurusan, khususnya mencari peluang beraksi di pentas,” katanya.

IMG_6198

D’Sutera Buskers, dianggotai enam anak muda dari Melaka muncul pemenang tempat ketiga.

Popular dengan lagu ‘Rahsia Mimpi Syakira’, mereka juga tidak kekok membawa lagu pelbagai genre termasuk irama tradisional dan irama 60-an.

“Saya harap ada kesinambungan program seperti ini supaya menjadi landasan busker beraksi dan bersaing sesama sendiri,” katanya.

Dianggar, ada lebih 8,000 busker yang memperjuang pelbagai genre di seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published.