Categories
KENYATAAN MEDIA

Biro Tata Negara membazir

Oleh: Fahmi Fadzil

Hari ini rakyat Malaysia disajikan satu slide show laporan Biro Tata Negara tentang fenomena “Gerakan Indie”, khusus dalam bidang penulisan sastera alternatif.

Bukan sahaja apa yang dinyatakan di dalam laporan tersebut tidak menyeluruh, salah dari segi fakta bahkan tidak masuk akal, malah laporan tersebut bagai menyenaraikan siri “sasaran” di kalangan pengkarya dan penerbit buku bukan arus perdana.

Laporan tersebut juga seperti cuba mewujudkan satu suasana “ephebiphobia” – ketakutan tidak rasional terhadap anak muda – di kalangan penjawat awam dan kakitangan kerajaan yang bakal diindoktrinasi agensi tersebut.

Bukankah laporan ini membazir dana awam, mengelirukan, dan tidak membantu memahami isi hati anak muda generasi “Millenial” dan yang seterusnya? Saya pasti orang ramai ingin tahu berapa banyak telah dibelanjakan BTN untuk menerbitkan laporan ini.

Apa pandangan sdr Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan tentang perkara ini? Adakah beliau bersetuju dengan cara BTN “mengkambing-hitamkan” pengkarya dan penerbit buku muda?

Sepatutnya Kerajaan dan agensi-agensi berkaitan hal ehwal anak muda lebih prihatin, cakna, dan memahami realiti sosio-politik dan ekonomi anak muda. Tapi ini tidak akan berlaku selagi pihak-pihak seperti BTN hanya melihat dari dimensi untung-rugi “undi anak muda”.

Saya amat kecewa wang rakyat dibazirkan dalam projek-projek seperti ini yang tiada manfaat selain kepada kelompok politik sempit, malah cuba memecah-belahkan kita.

Anak muda perlu diberi ruang untuk bersuara dan berkarya, dan hak mereka sebagai warga negara untuk bersuara jangan sekali-kali dikekang!

* Fahmi Fadzil adalah Pengarah Komunikasi KEADILAN & Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.