Categories
SELANGOR

Hadapi musim kering, usaha tingkat bekalan air dipertingkat

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 JUN: Kerajaan Negeri meneruskan operasi pembenihan awan dan beberapa langkah mitigasi lain sebagai persediaan menghadapi musim kering mulai Jun ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata ia perlu dilakukan dalam memastikan kesinambungan bekalan air dan sumber air berterusan.

projek air 4“Operasi pembenihan awan bermula pada 21 Februari lalu di beberapa kawasan tadahan dan lembangan sungai dengan cuaca sesuai meneruskannya dan kos sehingga kini RM2 juta.

“Kita menguruskan operasi pengepaman air dari kolam takungan di sekitar Bestari Jaya tanpa mengabaikan soal kualiti sumber air yang terdapat 10 kolam dengan kapasiti takungan sebanyak 84 juta meter padu dan keupayaan pengeluaran sehingga 800 JLH,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Antara tindakan lain, katanya, mengawal pelepasan air empangan bagi memastikan pelepasan dilaksanakan secara optimum dengan mengambil kira sumber air yang ada.

Usaha memindahkan air dari terowong Langat 2 ke Sungai Langat juga dilakukan bertujuan memberdayakan ketahanan sungai untuk loji Rawatan Air Sungai Langat, Bukit Tampoi dan Cheras Batu 11.

“Kerjasama erat antara agensi Kerajaan Negeri dilaksanakan bagi memantau dan mengawal demi mengelak berlakunya pencemaran sumber air.

“Penguatkuasaan tegas juga dilakukan melalui pemantauan berterusan di sepanjang sungai terbabit dalam pembekalan air mentah iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih termasuk ketika waktu cuti dan musim perayaan,” katanya.

Zaidy berkata, Kerajaan Negeri yakin dengan keupayaan takungan empangan untuk menyediakan sumber air mentah mencukupi di sepanjang musim kering dengan kapasiti empangan terkini pada paras lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sebagai contoh, katanya, empangan Sungai Selangor mencatatkan bacaan sebanyak 79.41 peratus.

“Empangan Sungai Selangor dan empangan Sungai Tinggi adalah empangan utama dalam pembekalan air di Selangor iaitu meliputi 60 peratus daripada jumlah pembekalan air di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.