Categories
SELANGOR

Insentif sebulan gaji tampung belanja lepas raya

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 30 JUN: Pemberian insentif sebulan gaji sempena Aidilfitri Kerajaan Selangor membuktikan penjawat awam dihargai berikutan pelaksanaan dasar secara profesional dan berintegriti.

Pembantu Operasi Pejabat Menteri Besar, Norshah Hefny Mohd Nazir, 58, berkata dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali di atas pemberian bonus itu.

NORSHAH HEFNY“Ia dapat meringankan beban kami dalam membuat persiapan raya kerana perbelanjaan semakin meningkat terutama untuk keperluan anak,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Tadbir Pejabat Menteri Besar, Mohammad Taufiqil Hafiz, 25, berkata inisiatif Kerajaan Negeri memberi imbuhan sebulan gaji dapat meringankan beban kakitangan awam.

“Pemberian itu memudahkan kami membuat persiapan raya lebih awal seperti penyelenggaraan kereta sebelum pulang ke kampung. Selain itu, ia dapat menampung kos barangan kerana hampir semua dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya.

Bagi Setiausaha, Zarini Zainun, 37, keprihatinan Kerajaan Negeri patut dipuji kerana menghargai perkhidmatan semua penjawat awam.

ZARINI ZAINUN“Saya sarankan Kerajaan Persekutuan harus lebih bertimbang rasa dalam pemberian bantuan raya. Pandang dan dengarlah suara rakyat kerana kami berhak dapat yang lebih setimpal dengan kadar GST yang mereka laksanakan,” katanya.

Kakitaangan Unit Keselamatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK), Johan Alief Ismail, 31, berkata pemberian bonus oleh Kerajaan Negeri membantu mengurangkan sedikit beban walaupun harga barang kian meningkat.

“Kami tetap bersyukur, walaupun kita tahu hakikatnya masih tidak mencukupi. Justeru, orang ramai perlu pandai berjimat dan merancang perbelanjaan sebaiknya serta mengurangkan sifat boros dalam berbelanja,” katanya.

Pegawai Penguatkuasa SUK, Misnun Ramli, 63, berkata pengumumun pembayaran bonus oleh Mohamed Azmin sangat menggembirakan hati semua kakitangan awam Selangor.

“Pemberian itu dapat menampung kos perbelanjaan hari raya, kemasukan anak ke sekolah dan simpanan selepas perayaan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.