Categories
SELANGOR

Jugra lokasi strategik majukan sukan paragliding antarabangsa

Oleh: NAEEM RAFFI

BANTING, 1 JUN: Jugra sekali lagi lokasi strategik sukan lasak paragliding peringkat antarabangsa dengan penglibatan lapan buah negara berentap dalam kejohanan Jugra Paragliding Accuracy Championship (JIPGAC) 2015.

Kesemua 55 peserta dari Vietnam, Korea Selatan, Filipina, Jepun, Singapura, Hong Kong, Indonesia, Switzeland dan juga Malaysia berkampung sepanjang tiga hari bermula 29 Mei lalu bagi memburu tiga kategori dipertandingkan.

Kategori individu terbuka menjadi milik Penerjun Indonesia, Elisa Manueke biarpun julung kali menduga cabaran di Bukit Jugra sekaligus membawa pulang wang tunai RM3,000.

Elisa menyifatkan beraksi di Jugra sebagai pengalaman cukup bermakna sebelum beliau meneruskan saingan merebut takta juara dunia di Paragliding Accuracy World Cup (PGAWC) di Bulgaria hujung tahun ini.

interview laki indon“Saya berhasrat tinggi menjadi juara peringkat dunia dengan melengkapkan enam siri kejohanan yang bermula di Filipina, Malaysia, Serbia, Jerman, China sebelum ke final di Bulgaria.

“Saya banyak menimba pengalaman di Jugra. Ia luar biasa, penerjun harus bersedia dengan cabaran angin laut selain pokok dan batuan di kaki bukit sebelum selamat mendarat di lapangan,” katanya yang pernah memenangi kategori sama di tangga ketiga dalam kejohanan German Paragliding Accuracy World Cup pada 2013.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangor Kini selepas Majlis Penutup Jugra International Paragliding Accuracy Championship (JIPGAC) 2015, di sini, semalam.

Kategori Terbuka Wanita pula menjadi milik penerjun Singapura, Goh Soo Fen Jessica sekaligus membawa pulang wang tunai RM1,000.

Tuahnya tidak habis di situ, Jessica turut dinobatkan sebagai naib juara Kategori Terbuka dengan habuan RM2,000.

“Saya mula aktif secara serius dengan sukan ini sejak 2013. Selain Malaysia, saya pernah beraksi di beberapa negara di rantau ini termasuk Thailand, Filipina dan Indonesia.

interview gurl singapore“Bagaimanapun, Jugra banyak memberi pengalaman kepada peserta bagimana untuk mengendalikan keadaan ketika berdepan angin kencang, ” katanya sambil menzahirkan rasa teruja dengan panorama menarik Selat Melaka ketika berada di udara.

Senada dengan Elisa, beliau juga berhasrat melengkapkan siri kejohanan PGAWC dengan meneruskan perjalanan ke Serbia sebelum mara ke final di Bulgaria.

Bagi Kategori Terbuka Kumpulan pula di menangi pasukan Niviuk dari Indonesia dengan hadiah wang tunai RM2,000.

Kejohanan JIPGAC 2015 adalah inisiatif Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mempromosi sukan lasak dan pelancongan berkaitan sejarah sekitar wilayah seliaannya dengan dokongan Tourism Selangor.

Majlis yang berlangsung di Pusat Paragliding Bukit Jugra ini dirasmikan Exco Pelancongan, Elizabeth Wong yang turut disertai Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali dan Pengurus Besar Tourism Selangor Noorul Ashikin Mohd Din.

Tapak acara ini juga menyaksikan beberapa siri kejohanan bertaraf antarbangsa pada 2006, 2007 dan 2008 sebelum MDKL diberi kepercayaan menganjurkan Paragliding Accuracy World Cup (PGAWC) Jugra pada 2009.

Bagi 2014, kejohanan ini ditukar kepada Jugra Paragliding Accuracy Championship dan ia diteruskan tahun ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.