Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Negeri tak pernah halau mangsa kebakaran Batu 12 Puchong

 

Oleh: SHUHAIMI SHAFIEI

Pada 7 Jun 2015 satu kejadian kebakaran yang menimpa penghuni rumah setinggan Batu 12, Puchong telah berlaku. Ia mendapat perhatian Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Ahli Parlimen Puchong, Ahli Dewan Negeri Sri Serdang dan Kerajaan Negeri  Amnya. Mangsa kebakaran dipindahkan ke Dewan Serbaguna MPSJ Bandar Bukit Puchong pada jam 11.00 malam dengan bantuan MPSJ dan semua urusan bantuan selesai sehingga jam 4 pagi. Jabatan Kebajikan Masyarakat Petaling telah menghantar bantuan makanan dan peralatan.  Mangsa terlibat adalah terdiri daripada 8 keluarga dan sehingga tengahari ini  hanya 3 keluarga yang masih berada di pusat pemindahan sementara.

MPSJ telah menawarkan rumah transit di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6 untuk penempatan sementara selama 4 bulan tanpa sebarang sewa.  Namun mereka enggan berpindah atas alasan lokasi penempatan itu jauh dan sebaliknya berhasrat membuat tuntutan milikan tanah yang merupakan tanah berstatus milik kerajaan.

Penempatan sementara dilanjutkan sehingga 26 Jun 2015 (Jumaat) bagi memudahkan mangsa membuat persiapan berpindah dan dilanjutkan sekali lagi sehingga 29 Jun 2015 (Isnin)  jam 2.00 petang.

Notis untuk berpindah telah diserahkan kepada semua ketua-ketua keluarga mangsa pada 19 Jun 2015 secara serahan tangan serta tampalan notis di dewan tersebut. Mangsa telah menyatakan kesanggupan untuk berpindah keluar daripada dewan itu dengan cara baik.

Ingin ditegaskan bahawa MPSJ mahupun Kerajaan Negeri tidak pernah menghalau mangsa kebakaran tanpa tempat berteduh, sebaliknya telah menyediakan tempat penginapan yang lebih selesa di Rumah Transit Bandar Kinrara 6. Akhirnya kesemua 3 mangsa telah bersetuju untuk berpindah ke lokasi yang ditetapkan selewat-lewatnya petang ini.

# Shuhaimi Shafiei adalah Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.