Categories
SELANGOR

Kes denggi meningkat 9.6%, kempen cegah diperluas

SHAH ALAM 6 JUN: Usaha tindakan bersepadu pelbagai agensi diperhebat seluruh negeri bagi membendung peningkatan kes denggi apabila naik 9.6 peratus sejak dua minggu lepas.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata tindakan bersepadu itu melibatkan perkongsian sumber termasuk peralatan, logistik dan sumber manusia.

DENGGI GRAFIK“Operasi Semburan Bersepadu kali ini melibatkan seramai hampir 900 orang anggota, 350 mesin semburan ruang thermal dan 40 buah mesin ULV dengan sasaran sebanyak 171 lokaliti wabak dilakukan semburan,” kata Dr Daroyah pada kenyataan media.

Katanya, strategi utama kawalan denggi adalah penekanan kepada kebersihan dan pencegahan pembiakan nyamuk Aedes setiap masa.

“Kejayaan strategi ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, pihak swasta, pertubuhan sukarelawan dan masyarakat tempatan,” katanya.

Jumlah kes mingguan pada minggu ke 21 iaitu bagi tempoh 24 hingga 30 Mei sebanyak 1,153 kes berbanding hanya 1,052 kes minggu sebelumnya.

Dari Januari hingga 30hb Mei 2015, jumlah kumulatif kes denggi adalah 27,282 kes peningkatan 36.8 peratus (7,345 kes) berbanding dengan 19,937 kes bagi tempoh sama 2014.

Manakala kematian denggi pula, bagi tempoh sama sebanyak 71 kematian dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 153 peratus (43 kes) berbanding 28 kematian pada 2014.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.