Categories
SELANGOR

Masyarakat ‘dahaga’ artifak unik, PADAT harus main peranan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 JUN: Program dan pameran berterusan wajar dijalankan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bagi menarik minat orang ramai mengunjungi muzium di Selangor.

PADAT perlu menjalankan promosi supaya masyarakat tempatan dan luar mengetahui akan sejarah dan khazanah bangsa dimiliki Selangor, bahkan muzium harus dijadikan destinasi kunjungan utama.

faizulMohd Faizul Harun, 33, dari Subang Jaya, berkata dengan pendekatan itu muzium yang ada seperti Muzium Sultan Alam Shah akan lebih diketahui dan mendapat perhatian umum.

“Saya yakin dengan cara ini muzium akan dikunjungi orang ramai tidak terhad ketika diadakan program tertentu seperti Hari Muzium Antarabangsa.

“Persembahan seperti tayangan mini teater juga boleh dibuat secara kerap supaya menimbulkan minat orang ramai untuk datang mengetahui sejarah dan kelebihan Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Kamal Ibrahim, 45, dari Perak, berkata keunikan bahan koleksi berharga seperti artifak unik dan kelebihan sejarah yang ada di Selangor perlu ditonjolkan PADAT secara meluas supaya negeri itu menjadi tumpuan ramai.

kamal“Saya yakin dengan segala kelebihan dimiliki, Muzium Sultan Alam Shah dan muzium lain di Selangor akan menjadi kunjungan umum dari semasa ke semasa.

“PADAT boleh menjalankan aktiviti kemasyarakatan termasuk pendedahan sejarah Selangor bagi terus memupuk minat masyarakat terutama di kalangan anak muda,” katanya.

Selain Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Selangor mempunyai enam muzium lain iaitu Muzium Timah (Gedung Raja Abdullah) Klang, Muzium Pertanian dan Perikanan (Sabak Bernam), Muzium Sejarah (Kuala Selangor), Muzium Permainan Tradisional (Kuala Selangor), Muzium Insitu Jugra dan Istana Bandar di Kuala Langat.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.