Categories
SELANGOR

Peti Ais Rakyat bantu golongan kurang berkemampuan

Oleh: NORHAYATI UMOR

AMPANG, 20 JUN: Projek amal ‘Peti Ais Rakyat’ buat pertama kalinya di negara ini dilaksanakan Parlimen Ampang khusus bagi golongan kurang berkemampuan.

Dengan memperkenalkan konsep dari rakyat kepada rakyat, ia bakal diperluaskan di pelusuk Selangor.

peti1Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata inisiatif berkenaan diwujudkan selepas mengambil kira situasi ekonomi masa kini.

“Perkara ini sudah dicadangkan ke peringkat Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan di Selangor, bagaimanapun, Parlimen Ampang menjadi model dalam pelaksanaannya sebelum diperluaskan ke kawasan-kawasan lain.

“Selain diwujudkan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan ia dalam masa sama sebagai langkah mengelakkan pembaziran makanan,” katanya.

Zuraidah berkata setakat ini terdapat enam restoran bekerjasama dalam menyalurkan bantuan makanan berlebihan untuk disumbangkan di ‘Peti Ais Rakyat’ itu.

“Menerusi program ini, masyarakat berkemampuan yang mempunyai makanan berlebihan tetapi bukan sisa, boleh salurkan sumbangan.

“Sesiapa sahaja yang merasakan dirinya dan keluarga memerlukan makanan, boleh datang ambil. Jadi konsepnya adalah dari rakyat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata orang ramai juga boleh menyumbangkan makanan dengan syarat ianya hendaklah halal, dan makanan atau lauk yang dimasak mesti dalam keadaan baik.

“Makanan segar seperti ayam, ikan, daging, sotong, buah-buahan dan sayur digalakkan dibungkus dan dilabel dengan rapi.

“Mana-mana individu yang mahu membuat pengumpulan makanan di sesuatu kawasan juga, kita ada petugas yang bergerak secara mobil untuk pengambilan,” katanya.

‘Peti Ais Rakyat’ terbabit ditempatkan di salah satu premis di kawasan tempat letak kereta, Satay Station, Ampang.

Ia dibuka setiap hari kecuali Rabu, dengan waktu pemberian bermula jam 7 malam hingga 11 malam manakala waktu penerimaan ditetapkan pada jam 9 pagi hingga 11 malam.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.