Categories
SELANGOR

Sultan Sharafuddin titah Farah Ann tak perlu ambil kisah komen sempit

SHAH ALAM, 26 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi tidak mengambil kisah komen mereka yang berfikiran sempit sebaliknya terus berusaha menjadi yang terbaik dalam bidang itu.

Titah terbabit disampaikan dalam surat penghargaan baginda kepada Farah, lapor The Star.

“Mengkritik pakaian anda sepatutnya menjadi perkara terakhir difikirkan mereka yang memberi komen negatif di media sosial.

SULTAN SELANGOR“Mereka perlu meraikan kejayaan anda untuk Malaysia dan Selangor,” titah baginda dalam surat penghargaan itu.

Baginda bertitah masa depan Malaysia terletak pada generasi muda seperti Farah dan rakyat perlu menyokong mereka (atlet) untuk cemerlang dan bukannya memberi komen negatif.

“Beta yakin, ia harus mengambil masa beberapa tahun untuk bekerja keras, dedikasi, keazaman dan masa latihan yang lama bagi mencapai tahap yang kamu capai,” titah baginda.

Farah memenangi pingat emas ketiga skuad gimnastik negara melalui kategori rutin lantai di Sukan SEA 2015 di Singapura lalu menerima kritikan berhubung pakaiannya dalam sukan terbabit.

seaSultan Selangor turut memuji atlet gimnastik itu kerana mengharumkan nama Malaysia dan Selangor.

Farah diiringi bapanya Abdul Hadi Ahmad, menerima surat penghargaan itu daripada seorang Pegawai Istana Selangor, hari ini.

Dalam reaksi Farah kepada The Star, beliau terharu dengan surat yang diterimanya itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Sultan Selangor kerana meluangkan masa untuk menulis surat kepada saya,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.