Categories
AGENDA SUKANKINI

Ratu gimnastik negara impi buka akademi sendiri

PUTRAJAYA, 9 OKT: Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi memasang impian untuk membuka akademi sendiri apabila bersara daripada dunia sukan itu satu hari nanti.

Farah Ann berkata pembukaan akademi itu merupakan sebahagian daripada rancangannya untuk memperkasakan bakat pada peringkat akar umbi dalam usaha memastikan negara tidak ketandusan pelapis bagi sukan gimnastik.

“Akademi Farah Ann itu merupakan satu daripada impian saya satu hari nanti, mungkin rancang tubuhkan dalam masa lima hingga 10 tahun dari sekarang.

“Selain daripada penubuhan sebuah akademi yang bagus, saya juga mahu menganjurkan program atau kem gimnastik buat kanak-kanak pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021, di sini hari ini.

Dalam pada itu, atlet berusia 27 tahun itu juga berminat untuk menjadi juri pertandingan mahupun menceburi bidang komunikasi selepas mengucapkan selamat tinggal kepada sukan kesayangannya itu.

Beliau pada masa sama memaklumkan banyak cabang yang boleh diterokai oleh para atlet sekiranya mereka bersara kelak seperti menjadi jurulatih bersama Majlis Sukan Negara ataupun bekerja bersama Institut Sukan Negara mahupun Kementerian Belia dan Sukan.

Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan dana RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan, Farah Ann memuji inisiatif kerajaan itu dalam menggalakkan wanita menceburi bidang sukan pada masa akan datang.

Atlet kelahiran Selangor itu juga percaya pelan berkenaan mampu mengangkat konsep kesamarataan bagi aspek jantina sehingga menyaksikan wanita turut serta memacu industri sukan negara.

Pelan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis perasmian sambutan HSN 2021 di sini, menggariskan objektif, strategi dan inisiatif yang terancang ke arah memperkasa penglibatan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan ke arah menjadikan pembangunan sukan negara yang lebih inklusif dan seimbang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet negeri bersemangat pamer aksi terbaik di Tokyo

SHAH ALAM, 8 JULAI: Atlet Selangor yang mewakili negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berazam untuk mempamer aksi terbaik meski tidak menyertai sebarang acara sepanjang pandemik.

Gimnas artistik Farah Ann Abdul Hadi yakin dirinya 100 peratus bersedia untuk bersaing pada temasya sukan paling berprestij itu walaupun baharu pertama kali menyertainya.

“Saya tiada sasaran untuk membawa pulang pingat emas memandangkan ini kali pertama saya berjaya menjejakkan kaki ke Sukan Olimpik.

“Namun, saya 100 peratus bersedia dan akan berusaha buat yang terbaik. Terima kasih Kerajaan Selangor atas sokongan dan insentif yang diberikan,” katanya dalam siaran langsung di Google Meet malam tadi.

Atlet renang Phee Jing En pula berharap sesi latihan selama beberapa bulan di Amerika Syarikat akan membuahkan hasil dalam penampilan keduanya pada temasya berkenaan.

“Kini saya lebih bersedia dan akan melakukan yang terbaik berbanding penampilan kali pertama di pentas Olimpik Rio lima tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, atlet lompat tinggi Lee Hup Wei mengakui bersedia membuat penampilan ketiga meskipun masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan buku lali pada kejohanan di Kazakhstan, bulan lalu.

Sukan Olimpik Tokyo bakal berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos sementara paralimpik mulai 24 Ogos hingga 5 September.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Farah Ann tidak sabar ke Olimpik, patuh protokol ketat elak wabak

SHAH ALAM, 29 JUN: Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi tidak sabar beraksi buat pertama kali dalam temasya Olimpik, Julai depan di sebalik kebimbangan peningkatan kes Covid-19.

Menurut atlet Selangor itu, beraksi di pentas sukan paling berprestij adalah impiannya sejak kecil dan tidak mahu melepaskan peluang dengan membuat pelbagai persiapan.

Farah Ann menjelaskan antara persiapannya termasuk mematuhi protokol kesihatan ketat pihak berkuasa Jepun yang menganjurkan Olimpik pada 23 Julai hingga 8 Ogos, antaranya perlu mengambil dua dos suntikan vaksin.

Beliau sudah melengkapkan suntikan vaksin pada 4 Mei lalu.

“Dari segi latihan saya teruskan seperti biasa di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil yang turut menetapkan tatacara operasi piawai ketat bagi mengelakkan jangkitan.

“Saya akan berlepas ke Jepun 17 Julai depan, sudah semestinya saya tidak sabar beraksi di Olimpik yang menjadi impian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Farah Ann mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Pencapaian itu juga menamatkan penantian rakyat Malaysia selama 20 tahun untuk melihat gimnas wanita negara kembali beraksi di pentas Olimpik, selepas Au Li Yen pada Sukan Olimpik 2000 di Australia.

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN Selangor bantu Farah Ann, Gavin hadapi Olimpik Tokyo

SHAH ALAM, 29 JUN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan memantau dan membantu dua atlet negeri ini yang akan mewakili negara dalam temasya Olimpik di Jepun pada Julai.

Pengarah Eksekutifnya Mohammad Nizam Marjugi berkata dua atlet berkenaan adalah gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi dan pemain golf profesional Gavin Kyle Green.

“Walaupun selepas mereka diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan dan semua urusan berkaitan bawah Majlis Sukan Negara, namun MSN Selangor biasanya pantau atlet negeri kita.

“Kita akan beri bantuan seperti kewangan sebelum dan selepas menyertai Olimpik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Olimpik Tokyo bakal menjadi pentas pertama bagi Farah Ann beraksi dalam kejohanan sukan paling berprestij itu manakala kali kedua buat Gavin.

Farah Ann mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Gavin secara rasminya layak selepas menduduki ranking ke-56 daripada 60 pemain golf dalam ranking Olimpik yang tempoh kelayakannya berakhir pada 22 Jun.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Fokus latihan hadapi Sukan Olimpik, misi cipta kejayaan – Farah Ann

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi mengambil sikap berkecuali dan tidak mahu terbabit dalam kemelut dalaman yang melanda Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) pada masa ini.

Gimnas berusia 25 tahun itu berkata beliau lebih mengutamakan fokus terhadap latihan dan persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo, tahun depan, berbanding memihak kepada mana-mana individu atau terpalit dengan politik dalaman persekutuan tersebut.

Berbaki kira-kira 10 bulan menjelang Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung pada Julai tahun depan, Farah Ann berkata beliau lebih berminat dalam misi mencipta kejayaan pada temasya sukan terbesar dunia itu berbanding memikirkan masalah MGF.

“Latihan tidak terganggu (walaupun MGF berdepan kemelut dalaman) sebab program kita di bawah Majlis Sukan Negara (MSN). Alhamdulillah sekarang semua mengikut perancangan, dan saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai atlet untuk teruskan latihan,” katanya kepada Sukan Plus Bernama TV, baru-baru ini.

Minggu lepas, MGF berdepan pergolakan selepas tujuh ahli gabungannya menyatakan usul hilang kepercayaan terhadap presidennya, Rachel Lau dan menggesa diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Namun, Rachel dalam jawapan balasnya, berkata MGF tidak mempunyai klausa ‘undi tidak percaya’, sekali gus membayangkan beliau tidak akan melepaskan jawatan nombor satu badan induk itu.

Berkongsi lanjut, Farah Ann berkata dalam apa jua situasi, badan induk itu perlu kembali kepada landasan asalnya dalam memayungi atlet gimnastik dan membangunkan sukan tersebut di Malaysia.

“Tugas atlet jalani latihan, namun pada masa sama saya juga ingin melihat masa depan sukan gimnastik di Malaysia bertambah baik. Sesiapa sahaja yang menerajui MGF, perlu sematkan perkara itu dalam fikiran dan memastikan atlet dan sukan gimnastik mempunyai masa depan yang lebih baik,” katanya.

Farah Ann mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman, sekali gus menamatkan penantian rakyat Malaysia selama 20 tahun untuk melihat gimnas wanita negara kembali beraksi di pentas Olimpik, selepas Au Li Yen pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Farah perlu `sempurna’ sehingga Sukan Olimpik 2020

SEPANG, 6 DIS: “Kita mahu pastikan dia (Farah Ann) ‘sempurna’ sehingga Sukan Olimpik 2020,” kata Jurulatih Gimnastik Artistik Kebangsaan Nataliya Sinkova, secara berseloroh tapi dalam nada serius.

Untuk memastikan Farah Ann Abd Hadi kekal tanpa sebarang kecederaan sehingga penyertaan pertamanya di Sukan Olimpik, Sinkova berkata, beliau perlu dapatkan rehat yang mencukupi, sebelum memulakan persediaan untuk Tokyo 2020 bermula Januari ini.

“Fizikal beliau perlu berehat lebih daripada mental, kerana dari segi mental beliau telah berjaya. Beliau menang tiga emas Sukan SEA. Tetapi fizikal beliau perlukan rehat yang mencukupi. Apa yang telah beliau lakukan adalah menakjubkan.

“Untuk persediaan Sukan Olimpik, beliau tak perlu melepasi pertandingan yang sukar. Beliau hanya perlu menyertai pertandingan untuk terus cergas. Kita tidak mahu dia cedera,” kata Sinkova ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sinkova berkata, Farah Ann akan menjalani fisioterapi pemulihan dan juga latihan biasa untuk dua bulan, selepas menunjukkan prestasi menakjubkan di Filipina.

Farah Ann menjadi atlet gimnastik artistik Malaysia pertama untuk layak ke Sukan Olimpik selepas 20 tahun, apabila beliau menduduki tempat ke-16 daripada 20 gimnas, pada sesi kelayakan acara all-around individu, di Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman.

Farah Ann merupakan gimnas ketiga Malaysia yang layak ke Olimpik selepas Au Li Yen pada 2000 (Sydney) dan Shu Wai di Athens 2004.

Bercakap mengenai prestasi keseluruhan skuad gimnastik di Sukan SEA ke-30, Sinkova berkata, pasukannya telah melakukan satu persembahan yang terbaik dan menunjukkan sikap professional yang menakjubkan.

“Mereka menang lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa. Mereka layak untuknya. Jika saya kata saya telah jangkakannya, ia seperti wow wow wow … tetapi saya berdoa untuknya kerana kami tahu standard mereka. Inilah standard sebenar mereka, ini bukan kerana magik. Siapa yang lakukan kesilapan, tidak akan dapat pingat,” katanya.

Sementara itu, Farah Ann yang ditemui mengakui kemenangan tiga pingat emas di Filipina menjadi suntikan semangat untuknya lebih bersedia, ke arah Sukan Olimpik.

“Ini merupakan Sukan SEA terbaik saya, kerana sebelum ini hanya menang dua pingat emas. Semestinya, ia memberi suntikan semangat untuk saya lakukan lebih baik di Olimpik. Sekarang adalah masa untuk saya pastikan, saya lakukan rutin yang lebih teratur.

“Buat masa sekarang, saya hanya mahu rehatkan badan. Masuk tahun depan saya akan buat pelan baru dengan jurulatih, mula Januari tahun depan. Untuk persediaan ke Sukan Olimpik, saya rasa dari segi ‘difficulties’ akan sama. Saya hanya perlu perkemaskan lagi rutin saya,” kata gimnas berusia 25 tahun itu.

Pada aksi di temasya dwitahunan yang membuka tirai pada 30 November lalu, Farah Ann melepasi sasaran peribadinya apabila meraih tiga pingat emas, dalam acara individu keseluruhan, palang bertingkat dan senaman lantai.

Dua lagi pingat emas skuad gimnastik artistik hadir menerusi Tracie Ang melalui acara batang titian dan Tan Fu Jie dalam acara kekuda pelana.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Farah Ann tambah emas buat kontinjen Malaysia

MANILA, 4 DIS: Persembahan cemerlang ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi di Rizal Memorial Coliseum, di sini, mewarnai hari gemilang kontinjen Malaysia yang berjaya menambah tujuh lagi pingat emas pada hari ketiga Sukan SEA ke-30 di Filipina, semalam.

Tambahan tujuh emas itu, bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Malaysia yang masih berada di tangga ketiga keseluruhan menerusi kutipan 18 emas, lima perak dan 14 gangsa.

Selain tujuh emas berkenaan, Malaysia turut menambah dua pingat perak, masing-masing menerusi Tan Ing Yueh dalam acara gimnastik artistik (melombol) serta atlet luncur ais, Anja Chong dalam acara 500m luncur ais wanita ‘short track speed’.

Kontinjen negara turut menambah lima gangsa, masing-masing dalam acara gimnastik artistik (senaman lantai lelaki dan palang bertingkat), wushu (sanda lelaki 54kg), skuasy perseorangan lelaki serta acara 500m luncur ais wanita ‘short track speed’.

Tuan rumah, Filipina terus mengungguli carta kutipan pingat menerusi kutipan 47 emas, 31 perak dan 17 gangsa, manakala Vietnam kekal menghuni tangga kedua dengan kutipan 23 emas, 27 perak dan 25 gangsa.

Kilauan emas pertama Malaysia hadir menerusi pemain chess negara, Yeoh Li Tian yang mengungguli acara Rapid Chess lelaki setelah mengumpul mata terbanyak menerusi sembilan pusingan perlawanan di Travelers Hotel, Subic.

Pemain elit boling negara, Timmy Tan terus menambah koleksi pingat untuk kontinjen negara selepas memenangi acara perseorangan lelaki setelah melakar 1,334 jatuhan pin di Pusat Beli-Belah Starmall Edsa, Manila, disusuli emas ketiga menerusi atlet gimnastik lelaki negara, Tan Fu Jie yang memenangi acara kekuda pelana dengan pungutan 13.967 mata.

Pemain skuasy wanita negara, Rachel Arnold terus menceriakan kontinjen negara apabila meraih emas seterusnya selepas mengatasi cabaran sengit rakan sepasukan, Chan Yiwen menerusi keputusan 11-9, 11-7 dan 11-3 di Manila Polo Club.

Farah Ann yang mengungguli acara individu all-round kelmarin, menyambar pingat emas peribadi kedua setelah memenangi acara palang bertingkat menerusi kutipan 12.367 mata, sebelum gandingan atlet luncur negara yang dibarisi Kynie Chan, Ashley Chin, Anja Chong dan Dione Tan menambah kilauan emas seterusnya selepas mengungguli acara 3,000m wanita berganti-ganti ‘short track speed’ di Pusat Beli-Belah SM Megamall, Manila.

Pemain skuasy negara, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar melengkapkan aksi cemerlang atlet negara setelah menyumbang pingat emas terakhir menerusi kemenangan 11-7, 3-11, 11-9 dan 11-5 ke atas pemain tuan rumah, Robert Andrew Garcia pada aksi final perseorangan lelaki.

Di sebalik keghairahan atlet negara memburu pingat emas, nasib malang menimpa pesilat elit lelaki, Muhammad Faizul M Nasir yang terpaksa dikejarkan ke dua pusat perubatan di Subic, sebelum dirujuk kepada doktor pakar pusat perubatan The Medical City di Clark.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu yang tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pesilat tuan rumah, Dines Dumaan pada aksi pusingan kedua kelas Putera B (50-55kg) di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic, bagaimanapun, disahkan sudah berada dalam keadaan stabil.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari keempat, hari ini dalam beberapa acara, badminton, gimnastik artistik, boling padang, sukan berhalangan dan pelayaran.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Farah Ann fokus Kejohanan Asia, mula berlatih raya kedua

OLEH NADIAH ZAMLUS/NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 JUN: Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi sudahpun memulakan latihannya pada hari raya kedua demi Kejohanan Gimnastik Asia 2019, tidak lama lagi.

Katanya, disebabkan itu dia hanya bercuti pada hari raya pertama sahaja serta dijangkakan bertolak ke Thailand pada 15 Jun ini.

“Namun perkara ini sudah biasa pada saya memandangkan sudah beberapa kali tidak tidak menyambut raya dengan keluarga disebabkan menyertai pertandingan di luar negara, termasuk ketika Sukan Komanwel di Glasgow,” katanya kepada SelangorKini.

Atlet berusia 25 tahun itu berkata, pada hari raya pertama beliau sekeluarga bertolak ke Negeri Sembilan menziarahi sanak saudara di sana.

Katanya, biasanya dia lebih menjaga pemakanan walaupun menjelang Aidilfitri pelbagai juadah enak dihidangkan.

“Saya akan makan seperti biasa dan mencuba makanan yang sedap , tetapi saya akan makan dengan sedikit supaya tidak terlebih makan.

“Saya juga akan minum air kosong bukannya air manis,” katanya.

Foto Sumber: Facebook Farah Ann Abdul Hadi

Categories
SELANGOR

Sultan Sharafuddin titah Farah Ann tak perlu ambil kisah komen sempit

SHAH ALAM, 26 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi tidak mengambil kisah komen mereka yang berfikiran sempit sebaliknya terus berusaha menjadi yang terbaik dalam bidang itu.

Titah terbabit disampaikan dalam surat penghargaan baginda kepada Farah, lapor The Star.

“Mengkritik pakaian anda sepatutnya menjadi perkara terakhir difikirkan mereka yang memberi komen negatif di media sosial.

SULTAN SELANGOR“Mereka perlu meraikan kejayaan anda untuk Malaysia dan Selangor,” titah baginda dalam surat penghargaan itu.

Baginda bertitah masa depan Malaysia terletak pada generasi muda seperti Farah dan rakyat perlu menyokong mereka (atlet) untuk cemerlang dan bukannya memberi komen negatif.

“Beta yakin, ia harus mengambil masa beberapa tahun untuk bekerja keras, dedikasi, keazaman dan masa latihan yang lama bagi mencapai tahap yang kamu capai,” titah baginda.

Farah memenangi pingat emas ketiga skuad gimnastik negara melalui kategori rutin lantai di Sukan SEA 2015 di Singapura lalu menerima kritikan berhubung pakaiannya dalam sukan terbabit.

seaSultan Selangor turut memuji atlet gimnastik itu kerana mengharumkan nama Malaysia dan Selangor.

Farah diiringi bapanya Abdul Hadi Ahmad, menerima surat penghargaan itu daripada seorang Pegawai Istana Selangor, hari ini.

Dalam reaksi Farah kepada The Star, beliau terharu dengan surat yang diterimanya itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Sultan Selangor kerana meluangkan masa untuk menulis surat kepada saya,” katanya.

-NFN-