Categories
NASIONAL

Penggantungan permit The Edge langgar kebebasan media

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 25 JUL : Penggantungan penerbitan The Edge berkaitan laporan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan hanya menyerang kebebasan media, malah melanggar hak rakyat mendapatkan kebenaran.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata rakyat berhak mengetahui perkara yang menjadi kebimbangan berkaitan skandal 1MDB yang melibatkan penyelewengan berbilion ringgit.

MB Azmin“Saya mengecam keras keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan.

“Pada pandangan saya, mendedahkan skandal nasional melibatkan kecurian besar wang rakyat seharusnya dibenarkan dan wajib bagi mereka yang berkemampuan untuk berbuat demikian seperti media,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata adalah tidak masuk akal untuk mengatakan laporan media itu memudaratkan kepentingan awam dan negara.

Sebaliknya, beliau berkata pihak yang terlibat dengan konspirasi untuk merompak kekayaan negara adalah yang mencemari keharmonian negara.

“Pihak yang tidak bersalah sudah tentu mengalu-alukan pendedahan itu.

“Justeru, semua rakyat Malaysia perlu bersama-sama mengutuk penggunaan kuasa sewenang-wenangnya oleh kerajaan dan menggesa supaya membatalkan keputusan yang tidak bertanggungjawab dan melulu ini,” katanya.

Penggantungan itu berkuat kuasa selama tiga bulan bermula 27 Julai.

KDN bertindak demikian berdasarkan laporan akhbar berkenaan berhubung 1MDB yang didakwa bersifat “memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menggemparkan pendapat umum atau mungkin memudaratkan orang awam atau kepentingan awam”.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.