Categories
NASIONAL

PKR fail saman batal keputusan PRU-13

SHAH ALAM, 8 JUL: PKR akan memfailkan saman sivil bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) susulan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report berkenaan pemindahan berbilion ringgit ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata PKR akan memfailkan saman terbabit dalam kadar segera dan turut menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ekoran tindakan Perdana Menteri yang didakwa menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memenangi PRU-13.

Nurul-Izzah“Lanjutan daripada aduan dikemukakan, wajib diingatkan bahawa jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan untuk kempen pilihan raya bagi setiap calon RM200,000 (Parlimen) dan RM100,000 (Dewan Undangan Negeri) seperti diperincikan di bawah Seksyen 19, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Oleh yang demikian, jumlah maksima yang dibelanjakan untuk semua calon Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi 222 kerusi parlimen dan 505 DUN RM44.4 juta dan RM50.5 juta masing-masing.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan RM94.9 juta, jauh lebih rendah daripada jumlah yang didakwa digunakan BN iaitu RM2.67 bilion,” katanya pada sidang media, di ibu pejabat PKR, hari ini.

Izzah berkata, Bersih 2.0, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dan Transparency International sudah mengemukakan empat aduan kepada SPRM berhubung perkara itu yang didakwa mengandungi elemen rasuah dalam penyaluran dana pada PRU-13.

najib-razak“Jumlah wang RM2.67 bilion yang diumumkan asalnya AS$700 juta dan didakwa berada dalam akaun peribadi perdana menteri adalah 26 kali lebih daripada had perbelanjaan dibenarkan.

“Siapa yang boleh memastikan ini adalah sumber tunggal kewangan untuk perbelanjaan pilihan raya Umno dan BN pada PRU yang lepas,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mahkamah akan menjadi pemangkin kepada pembatalan kerusi dimenangi Umno dan BN ekoran pendedahan amalan rasuah dan pembaziran wang melampau.

Katanya, antara aduan lain yang berkait adalah pembelian stesen janakuasa yang sebelum ini dimiliki Genting pada harga tinggi dan tidak munasabah serta wang yang disalurkan kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Leave a Reply

Your email address will not be published.