Categories
NASIONAL

Umno tidak perlu campur urusan parti, KEADILAN teruskan mandat rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 OGOS : Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik diingatkan supaya tidak mencampuri urusan KEADILAN untuk menentukan calon selayaknya bertanding dalam pilihan raya.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, berkata pimpinan Umno itu selayaknya lebih fokus mencari penyelesaian terbaik berhubung skandal kewangan negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Nong Chik sudah bagi kenyataan sebelumnya dan saya ucapkan terima kasih kerana saya tetap akan teruskan usaha atas mandat yang diberikan rakyat untuk penggal kedua.

“Kita hanya akan terus mengikut pendirian parti dan tidak perlulah parti lain mencampuri urusan KEADILAN kerana cadangan Nong Chik itu bukan sesuatu yang boleh diterima pakai,” katanya.

Nurul-IzzahBeliau membidas kenyataan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai itu yang menyarankan supaya Nurul Izzah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri untuk menjadi Perdana Menteri.

“Usaha saya, tugasan dan mandat yang diberikan rakyat untuk penggal kedua dan saya fikir tidak memerlukan komentar lebih mengenainya,” tempelak Nurul Izzah.

Sebelum ini, Nurul Izzah berjaya merampas kerusi Parlimen Lembah Pantai selepas berjaya menewaskan penyandang tiga penggal kerusi itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Pilihan Raya Umum 2008 dengan majoriti 2,895 undian.

Beliau juga mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 1,847 ketika mengalahkan Nong Chik pada Pilihan Raya Umum 2013.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PKR fail saman batal keputusan PRU-13

SHAH ALAM, 8 JUL: PKR akan memfailkan saman sivil bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) susulan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report berkenaan pemindahan berbilion ringgit ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata PKR akan memfailkan saman terbabit dalam kadar segera dan turut menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ekoran tindakan Perdana Menteri yang didakwa menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memenangi PRU-13.

Nurul-Izzah“Lanjutan daripada aduan dikemukakan, wajib diingatkan bahawa jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan untuk kempen pilihan raya bagi setiap calon RM200,000 (Parlimen) dan RM100,000 (Dewan Undangan Negeri) seperti diperincikan di bawah Seksyen 19, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Oleh yang demikian, jumlah maksima yang dibelanjakan untuk semua calon Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi 222 kerusi parlimen dan 505 DUN RM44.4 juta dan RM50.5 juta masing-masing.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan RM94.9 juta, jauh lebih rendah daripada jumlah yang didakwa digunakan BN iaitu RM2.67 bilion,” katanya pada sidang media, di ibu pejabat PKR, hari ini.

Izzah berkata, Bersih 2.0, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dan Transparency International sudah mengemukakan empat aduan kepada SPRM berhubung perkara itu yang didakwa mengandungi elemen rasuah dalam penyaluran dana pada PRU-13.

najib-razak“Jumlah wang RM2.67 bilion yang diumumkan asalnya AS$700 juta dan didakwa berada dalam akaun peribadi perdana menteri adalah 26 kali lebih daripada had perbelanjaan dibenarkan.

“Siapa yang boleh memastikan ini adalah sumber tunggal kewangan untuk perbelanjaan pilihan raya Umno dan BN pada PRU yang lepas,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mahkamah akan menjadi pemangkin kepada pembatalan kerusi dimenangi Umno dan BN ekoran pendedahan amalan rasuah dan pembaziran wang melampau.

Katanya, antara aduan lain yang berkait adalah pembelian stesen janakuasa yang sebelum ini dimiliki Genting pada harga tinggi dan tidak munasabah serta wang yang disalurkan kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).