Categories
NASIONAL

PM perlu beri penjelasan, bukan sekat media

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 JUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu membuat penjelasan terperinci berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan menyekat penyebaran maklumat.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata tindakan kerajaan untuk menyekat akses rakyat Malaysia daripada melayari laman web pendedah maklumat Sarawak Report (SR) adalah percubaan terdesak.

Nurul IzzahKatanya, isu 1MDB amat membimbangkan melalui dokumen dan pendedahan media tempatan juga antarabangsa seperti Wall Street Journal (WSJ), The Edge serta kemungkinan melalui pendedahan laporan Ketua Audit Negara.

“Bukti yang didedahkan seharusnya memaksa Perdana Menteri memberi penjelasan terperinci dan mengambil cuti tanpa ganti sehingga siasatan terhadap beliau selesai.

“Namun, selain daripada surat meminta keterangan daripada WSJ, rakyat Malaysia masih lagi tidak mendapat apa-apa penjelasan daripada beliau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Najib-1MDBAhli Parlimen Lembah Pantai itu juga mempersoalkan Perdana Menteri yang belum menyaman WSJ jika fakta dilaporkan media terbabit salah, bahkan tiada penafian berhubung dakwaan wang US$700 juta itu dipindahkan ke dalam akaun beliau.

Katanya, kewartawanan berunsur siasatan membentuk asas kepada kuasa rakyat dan Izzah menyokong penuh fungsi itu kerana media yang bebas mampu mengawasi pembaziran serta ketirisan kerajaan.

“Media mempunyai peranan penting dalam konsep pemisahan kuasa sesebuah negara demokratik, terutama dalam negara yang mencanang ingin menjadi demokrasi terbaik di dunia.

“Tindakan sekatan ke atas SR bertentangan sama sekali dengan prinsip ini. Penarikan kembali arahan sekatan ini adalah indikasi keputusan yang dilakukan secara terburu-buru,” katanya.

Beliau berkata, alasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang kononnya ingin menjaga keselamatan negara dengan menyekat SR amat bertentangan dengan tanggungjawab menjaga keselamatan negara.

“Keselamatan negara memerlukan sebuah jawapan bagaimana Perdana Menteri mendapat akses terhadap jumlah wang begitu tinggi sekali,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.