Categories
SELANGOR

Rizab negeri naik konsisten sejak 2009

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 27 JUL: Peningkatan rizab Selangor berlaku secara gradual (beransur-ansur) dan konsisten sejak 2009, kata Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman.

Beliau berkata peningkatan rizab bukan disebabkan simpanan itu tidak dibelanjakan, sebaliknya ia bergantung kepada dasar dan polisi negeri.

Selangor majuKatanya, rizab negeri atau kumpulan wang disatukan terus meningkat pada tahap RM3.654 bilion sehingga 30 Jun lalu berbanding RM1.3 bilion pada 2009.

“Jika dilihat Belanjawan Selangor saban tahun semakin bertambah, tetapi kembali kepada dasar dan polisi negeri.

“Contohnya, untuk tujuan tukar syarat tanah, kita menilai mengikut harga pasaran dan negeri tidak memberi diskaun bagi nilai premium itu.

“Itu salah satu sebab mengapa hasil negeri meningkat kerana dasar itu sendiri,” katanya kepada Selangor Kini.

Noordin berkata Selangor adalah negeri bertuah kerana menjadi tumpuan mencari pekerjaan termasuk dari kalangan rakyat luar negara.

Katanya ia ditambah dengan ekonomi negeri stabil dan menyediakan banyak tenaga kerja khusus buat pelabur dari pelbagai pelusuk.

“Tenaga kerja ini memerlukan kediaman, jadi apabila ada permintaan untuk hartanah banyak tanah berstatus pertanian ditukar kepada bangunan.

“Malah keadaan ekonomi itu sendiri apabila Selangor menyumbang 25 peratus kepada negara dan bila ia berlaku, industri melihat negeri ini sebagai destinasi sesuai untuk melabur kerana banyak tenaga kerja dan infrastruktur mudah diakses,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.