Categories
NASIONAL

Shebby malu 9 tahun wakili negara jika FAM naturalisasikan pemain luar

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 JUL: Bekas pemain kebangsaan, Shebby atau nama sebenarnya Serbegth Singh malu dan menyesal mewakili negara sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhasrat menggunakan pemain naturalisasi bagi meningkatkan prestasi skuad Kebangsaan.

Kata beliau, kesediaan FAM mempertimbangkan langkah itu hanya mencerminkan pengakuan kegagalan badan induk bola sepak negara itu menguruskan bola sepak negara sehingga terpaksa mencari jalan singkat.

shebby“Saya sebagai bekas pemain kebangsaan tak boleh terima kita tak boleh bangunkan pemain tempatan.

“Kalau mereka nak ambil jalan singkat menyebabkan saya rasa malu mewakili Malaysia selama sembilan tahun dari 1982 sampai 1991, membazir tenaga saya, membuang masa saya kalau FAM mengaku gagal. Kiranya macam bola sepak kita dah tak bermakna.

“Sekarang FAM sesuka hati nak buat apa. Saya cuma menyesal mencurahkan macam-macam untuk bola sepak negara,” kata Shebby ketika dihubungi Selangor Kini.

Kata Shebby lagi, Malaysia juga tidak boleh meniru pendekatan dilakukan badan induk bola sepak Singapura dan Jepun dengan menjadikan pemain luar sebagai warganegara sebelum diserapkan ke pasukan kebangsaan masing-masing.

Jelasnya, Singapura mempunyai jumlah penduduk yang jauh sedikit berbanding Malaysia dan Jepun pula mempunyai sejarah yang panjang sebelum memutuskan mengambil pemain luar untuk diserapkan sebagai pemain kebangsaan.

Terdahulu Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dilaporkan Bernama berkata badan induk itu menyokong cadangan berkenaan namun mengambil kira pandangan kerajaan kerana melibatkan kewarganegaraan seseorang individu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, FAM pada masa ini mementingkan pemain yang mempunyai pertalian darah dengan negara ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.